BERITA TERKINI   Kerajaan sedang mengkaji semula pelaksanaan cukai karbon Malaysia disebabkan situasi geopolitik semasa - NRES | PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | 

BNM: Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$126.87 Bilion Pada Akhir Januari 2026

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$126.87 bilion (US$1 = RM3.88) setakat akhir Januari 2026, meningkat berbanding US$125.53 bilion pada akhir Disember 2025.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata aset mata wang asing lain berjumlah US$569.7 juta.

Bank pusat itu berkata bagi 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah US$10.61 bilion.

Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank BNM dalam mata wang asing, katanya.

"Kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$21.17 bilion pada akhir Januari 2026, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," kata BNM dalam satu kenyataan.

Bank pusat itu berkata unjuran aliran masuk mata wang asing ini berjumlah US$2.94 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Katanya, satu-satunya aliran keluar bersih jangka pendek kontingensi bagi aset mata wang asing ialah jaminan kerajaan terhadap hutang luar negeri dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$847.2 juta.

"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mengandungi sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

"Bank Negara Malaysia juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," katanya.

Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Januari 2026 tetap boleh guna.

-- BERNAMA