Sarawak Akan Eksport Tenaga Elektrik Ke Brunei Awal Tahun Depan
KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Sarawak menyasarkan untuk mengeksport tenaga elektrik ke Brunei menjelang awal tahun depan, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau berkata baru-baru ini Sarawak mula mengeksport sebanyak 50 megawatt (MW) elektrik ke Sabah, dengan cadangan untuk meningkatkannya sehingga 300 MW.
“Fasa selanjutnya akan melibatkan eksport ke Brunei, diikuti Filipina melalui Palawan, dan akhirnya ke Singapura melalui Rangka Kerja Tenaga Rendah Karbon,” katanya pada sesi libat urus industri dan sidang media Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata matlamat jangka panjang Sarawak adalah untuk menjadikan negeri berkenaan sebagai pembekal tenaga utama ASEAN.
“Kami bukan sekadar tempat menjana tenaga; kami adalah pembekal tenaga kepada ASEAN. Kami mengeksport bekalan tenaga,” katanya sambil memaklumkan Sarawak telah mengeksport tenaga elektrik ke Kalimantan sejak 2016.
Hazland berkata Sarawak telah membangunkan keupayaan hidrogen hijau secara berperingkat.
Negeri itu melancarkan inisiatif hidrogennya pada 2019 dengan penghasilan awal sebanyak 130 kilogram sehari untuk pengoperasian lima bas yang menggunakan teknologi hidrogen di Kuching.
Pada masa ini Sarawak mempunyai lima stesen pelbagai bahan api dan bercadang untuk menambah 20 stesen lagi menjelang tahun depan.
"Beberapa syarikat antarabangsa lain telah menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor hidrogen negeri ini," katanya.
-- BERNAMA