Bursa Malaysia Dijangka Diniagakan Mendatar Pada 1,710–1,740 Minggu Depan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan mendatar dalam julat 1,710 hingga 1,740 minggu depan, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng.
Beliau berkata indeks diunjurkan bergerak sedemikian berikutan pasaran mengambil kira musim pelaporan pendapatan korporat yang terkini selain berdepan ketidaktentuan sektor teknologi global.
“Selain itu, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang dijadualkan pada 5 Mac kekal sebagai pemangkin domestik utama manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka kekal pada 2.75 peratus,” katanya kepada Bernama.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketidaktentuan pasaran dijangka berkurangan minggu depan berikutan musim pelaporan pendapatan korporat suku keempat 2025 Malaysia telah melepasi fasa kemuncaknya, mengurangkan turun naik harga yang didorong oleh prestasi pendapatan.
“Apabila prestasi pendapatan syarikat jelas dan risiko telah diambil kira, momentum sektor dijangka stabil, membuka ruang kepada aktiviti belian saham pada harga rendah yang terpilih, terutamanya dalam kalangan bank permodalan besar.
“Berdasarkan sektor kewangan mempunyai peranan yang penting dalam pasaran secara keseluruhan, kestabilan pada peringkat sektor ini berpotensi menjadi pemangkin penting kepada sentimen pasaran dalam tempoh terdekat,” katanya.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 36.22 mata kepada 1,716.61 daripada 1,752.83 minggu lepas.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 berkurangan 234.07 mata kepada 12,433.82, Indeks FBM Emas menurun 235.35 mata kepada 12,611.43, Indeks FBM Mid 70 jatuh 203.23 mata kepada 17,542.47, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 150.73 mata kepada 12,217.56 dan Indeks FBM ACE merosot 101.87 mata kepada 4,720.25.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 533.87 mata kepada 21,081.80, Indeks Tenaga merosot 22.14 mata kepada 753.74, Indeks Perladangan jatuh 150.41 mata kepada 8,269.57 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 7.23 mata kepada 170.83.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 13.62 bilion unit bernilai RM18.00 bilion daripada 5.88 bilion unit bernilai RM6.53 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 8.42 bilion unit bernilai RM16.87 bilion daripada 3.76 bilion unit bernilai RM6.09 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran naik kepada 3.42 bilion unit bernilai RM392.22 juta daripada 1.38 bilion unit bernilai RM165.97 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 1.77 bilion unit bernilai RM730.54 juta daripada 735.33 juta unit bernilai RM274.35 juta minggu lepas.
-- BERNAMA