Tindakan Dasar Lebih Awal Penting Untuk Tangani Kesan Konflik AS-Iran, Kata Ahli Ekonomi
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Perbincangan dasar yang dilaksanakan segera dan terselaras akan menjadi faktor penting untuk menentukan sama ada konflik Amerika Syarikat(AS)-Iran yang semakin meruncing terus kekal sebagai kejutan luaran sementara atau menjadi cabaran ekonomi yang berterusan bagi Malaysia, kata ahli ekonomi.
Profesor pembangunan ekonomi di Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Dr Tan Peck Leong berkata konflik Timur Tengah itu sendiri tidak mungkin melemahkan ekonomi Malaysia secara asasnya dalam tempoh terdekat.
“Risiko yang lebih besar bukanlah pertumbuhan yang merosot secara tiba-tiba, tetapi kewangan yang tidak stabil dan kenaikan harga bersifat oportunis yang boleh mengukuhkan jangkaan inflasi sehingga mengakibatkan peningkatan kos sara hidup yang berpanjangan kepada rakyat,” katanya kepada Bernama.
Tan berkata situasi pada masa ini merupakan tempoh penting untuk melaksanakan langkah pencegahan dalam pengurusan ekonomi.
“Sekiranya ketidaktentuan ini tidak dikawal lebih awal, kejutan luaran dalam masa terdekat ini mungkin menjadi tekanan harga di dalam negara yang berlarutan dan menjejaskan kuasa beli isi rumah,” katanya.
Menurut Tan, Bank Negara Malaysia perlu bersedia untuk menstabilkan keadaan kewangan dan mengelakkan turun naik mata wang dan pasaran yang terlalu tinggi memandangkan keadaan ini mungkin menjejaskan nilai ringgit dalam suasana ketidaktentuan dunia dan meningkatkan tekanan inflasi import, terutama bagi makanan dan barangan perantaraan.
"Pada masa yang sama, agensi kerajaan perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada ketidaktentuan global yang bersifat sementara untuk menaikkan harga secara tidak wajar," katanya.
Tan berkata Malaysia telah berjaya mengharungi krisis terdahulu menerusi tindak balas dasar yang tepat pada masanya dan terselaras.
“Ketegasan yang sama diperlukan hari ini. Tindakan awal dan terselaras antara pihak berkuasa monetari dan agensi penguat kuasa adalah penting bagi mengelakkan krisis Timur Tengah yang bersifat sementara berubah menjadi cabaran ekonomi kepada rakyat untuk jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, impak terhadap Malaysia berkemungkinan besar melalui tiga saluran utama iaitu pasaran kewangan, harga tenaga dan aliran perdagangan, dengan pasaran kewangan dan sentimen pelabur pada kebiasaannya akan menunjukkan kesan awal.
“Semasa kejutan pasaran akibat COVID-19 pada 2020, pasaran ekuiti Malaysia misalnya menyusut mendadak sebelum ekonomi sebenar perlahan, sekali gus menunjukkan bahawa pasaran kewangan sering menjadi saluran terpantas yang menyebarkan kesan apabila berlaku ketidaktentuan global,” katanya.
Mengenai harga tenaga, beliau berkata harga minyak dan gas asli cecair (LNG) yang tinggi berkecenderungan memberi manfaat kepada pendapatan eksport dan hasil kerajaan Malaysia, tetapi turut meningkatkan kos pengeluaran dan pengangkutan di seluruh ekonomi.
“Walaupun harga tenaga yang lebih tinggi boleh meningkatkan imbangan luaran dan kedudukan fiskal Malaysia untuk tempoh sementara, penggubal dasar perlu berwaspada dengan impak pusingan kedua ke atas inflasi domestik terutama dalam sektor berintensifkan logistik,” katanya.
Mengenai aliran perdagangan, beliau berkata Malaysia mengeksport sejumlah besar minyak sawit dan produk makanan ke pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara.
“Negara ini mengeksport kira-kira satu juta hingga dua juta tan minyak sawit setiap tahun ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara sekali gus menjadikannya sebagai pasaran destinasi yang penting.
“Gangguan kepada laluan perkapalan atau aktiviti ekonomi di rantau itu boleh melewatkan penghantaran, meningkatkan kos logistik dan menjejaskan momentum perdagangan,” katanya.
Tan berkata sekiranya konflik itu dapat dikawal dan gangguan hanya berlaku selama beberapa minggu, kesan ekonomi ke atas Malaysia mungkin hanya sebagai ketidaktentuan jangka pendek, bukannya kejutan struktur, dengan sektor berkaitan tenaga menunjukkan daya tahan yang relatif.
Beliau bagaimanapun berkata, ketegangan yang berlarutan boleh menimbulkan risiko yang lebih menyeluruh melalui turun naik pasaran kewangan yang berterusan, kos penghantaran tinggi dan tekanan inflasi yang berterusan.
“Bukti daripada krisis geopolitik yang lalu menunjukkan bahawa pasaran sedang pesat membangun sering mengalami aliran keluar modal sementara dan penurunan pasaran ekuiti dalam tempoh ketidaktentuan global, walaupun asas ekonomi kekal stabil.
“Perbezaan utama terletak kepada seberapa pantas pihak berkuasa di dalam negara bertindak untuk menstabilkan jangkaan dan mengukuhkan keyakinan,” katanya.
-- BERNAMA