Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Berikutan Pengukuhan Dolar AS Jejas Aset Lindung Nilai

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa berikutan kejatuhan niaga hadapan emas COMEX Amerika Syarikat (AS) apabila dolar AS mengukuh di tengah-tengah konflik Timur Tengah.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata penurunan terkini harga emas global sebanyak 1.5 peratus mungkin agak mengejutkan, khususnya ketika ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak.

Bagaimanapun, penurunan itu mencerminkan faktor makroekonomi asas yang lebih kukuh, bukannya penolakan terhadap peranan tradisional emas sebagai aset lindung nilai.

Beliau berkata dolar AS kini lebih kukuh dan hasil Perbendaharaan AS juga meningkat, khususnya hasil sebenar selepas mengambil kira inflasi, yang secara mekanikal memberi tekanan kepada emas dengan meningkatkan kos peluang memegang aset yang tidak menjana pulangan.

“Pada peringkat awal tekanan geopolitik, pelabur selalunya menjual aset berisiko dan beralih kepada tunai serta dolar, daripada terus beralih kepada emas.

“Bagaimanapun buat masa ini, dominan dalam perdagangan didorong oleh pengurangan risiko berasaskan mudah tunai dan bukannya permintaan lindung nilai terhadap inflasi, yang menjelaskan mengapa harga emas lemah walaupun wujud suasana geopolitik,” kata Innes kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Mac 2026 susut kepada US$5,288.50 setiap auns troy daripada US$5,414.20 pada Isnin, manakala kontrak April 2026 turun kepada US$5,306.70 setiap auns troy daripada US$5,432.40 dan Mei lemah kepada US$5,316.30 setiap auns troy daripada US$5,451.40 sebelumnya.

Kontrak Jun dan Ogos 2026 masing-masing ditutup lebih rendah kepada US$5,350.20 setiap auns troy daripada US$5,485.30 sebelum ini.

Jumlah dagangan meningkat kepada 21 lot daripada 16 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok kepada 95 kontrak daripada 92 kontrak sebelum ini.

Harga emas fizikal berada pada US$5,313.90 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 2 Mac, 2026.

-- BERNAMA