BERITA TERKINI   Seorang lelaki maut diserang sekumpulan gajah liar di Gua Musang hari ini - Polis | Pengembangan berterusan portfolio pinjaman dan deposit tingkatkan untung bersih Public Bank kepada RM1.75 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM1.74 bilion suku pertama 2025 | KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | Permintaan buruh Malaysia meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, merekodkan 9.23 juta jawatan pada suku pertama 2026 - DOSM | 

Perbelanjaan Pembangunan Sabah Capai RM5.9 Bilion Pada 2025 – MOF

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Prestasi Perbelanjaan Pembangunan (DE) 2025 untuk Negeri Sabah telah mencapai RM5.9 bilion iaitu 89 peratus berbanding peruntukan asal, kata Kementerian Kewangan, (MOF).

Kementerian itu berkata peruntukan DE yang telah disediakan untuk Sabah bagi 2025 adalah berjumlah RM6.7 bilion.

“Ini untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan antaranya projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah, bekalan air luar bandar, bekalan elektrik luar bandar, jalan  perhubungan desa, jalan-jalan luar bandar dan kemudahan sosial,” kata kementerian itu melalui jawapan bertulis Dewan Negara hari ini.

MOF berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana  Perian mengenai baki peruntukan belanjawan 2025 bagi Sabah.

Untuk projek pembangunan, perbelanjaan adalah di peringkat agensi pelaksana dan tertakluk kepada kemajuan kerja serta status perbelanjaan pembangunan Sabah.

“Sekiranya kerja tersebut tidak dapat disiapkan dalam tahun semasa, mengakibatkan terdapat lebihan peruntukan yang tidak boleh dibelanjakan,” katanya.

Kerajaan Persekutuan akan menyediakan peruntukan untuk tahun berikutnya mengikut kos projek yang diluluskan dalam memastikan projek pembangunan di Sabah dapat disiapkan sepenuhnya mengikut kemajuan kerja dan kos projek yang telah ditetapkan bagi sesuatu projek pada tahun-tahun berikutnya, katanya lagi.

-- BERNAMA