BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000 - MoF | Seorang lelaki maut diserang sekumpulan gajah liar di Gua Musang hari ini - Polis | Pengembangan berterusan portfolio pinjaman dan deposit tingkatkan untung bersih Public Bank kepada RM1.75 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM1.74 bilion suku pertama 2025 | KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | 

Penduduk Malaysia Meningkat Kepada 34.4 Juta, Kadar Pertumbuhan Lebih Perlahan - DOSM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Penduduk Malaysia pada suku pertama (S1) 2026 dianggarkan berjumlah 34.4 juta berbanding 34.2 juta dalam tempoh sama tahun lepas, dengan kadar pertumbuhan lebih perlahan iaitu 0.5 peratus, menurut laporan perangkaan demografi bagi S1 tahun ini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penduduk lelaki meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.9 juta pada S1 2026 manakala perempuan meningkat kepada 16.3 juta daripada 16.2 juta bagi tempoh yang sama setahun lepas.

“Nisbah jantina ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 102. Komposisi penduduk tua (65 tahun dan lebih) meningkat daripada 7.9 peratus kepada 8.0 peratus pada S1 2026.

“Pada masa sama, penduduk umur muda (0 hingga 14 tahun) menurun daripada 21.8 peratus kepada 21.6 peratus. Penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) pula meningkat daripada 70.3 peratus kepada 70.4 peratus bagi tempoh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut etnik, Melayu menyumbang 58.3 peratus daripada jumlah penduduk pada S1 2026 berbanding 58.2 peratus pada S1 2025.

Komposisi penduduk bumiputera lain dan India masing-masing kekal pada 12.3 peratus dan 6.5 peratus, manakala Cina menurun kepada 22.1 peratus pada S1 2026 berbanding 22.2 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata bumiputera Sabah menyumbang 55.3 peratus daripada kumpulan bumiputera lain yang terdiri daripada Kadazan/Dusun (31.7 peratus), Bajau (26.5 peratus), Murut (5.1 peratus) dan bumiputera Sabah lain (36.7 peratus).

Sementara itu, bumiputera Sarawak yang merangkumi 32.3 peratus pula terdiri daripada Iban (59.1 peratus), Bidayuh (17.1 peratus), Melanau (10.6 peratus) dan bumiputera Sarawak lain (13.2 peratus).

Mengenai jumlah kelahiran, Mohd Uzir berkata bilangan kelahiran hidup terus menurun kepada 94,807 kelahiran berbanding 97,843 kelahiran pada S1 2025, dengan bayi lelaki melebihi bayi perempuan, masing-masing 49,137 dan 45,670 kelahiran.

“Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 17,990 kelahiran manakala Wilayah Persekutuan Labuan mencatat bilangan terendah dengan 294 kelahiran,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 49,139 kematian direkodkan pada S1 2026, menurun 1.5 peratus berbanding 49,863 kematian pada S1 2025.

Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 8,042 kematian, manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 81 kematian, dan penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 35,130 kematian (71.5 peratus), diikuti  41-59 tahun (19.9 peratus), 15-40 tahun (6.8 peratus) dan 0-14 tahun (1.8 peratus). 

-- BERNAMA