Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Mata Wang Utama Namun Rendah Berbanding Dolar AS
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding beberapa mata wang utama namun rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat.
Prestasi itu dicatatkan apabila dolar AS kembali mendapat asas kenaikan susulan permintaan terhadap mata wang selamat semakin meningkat ekoran konflik Timur Tengah yang memuncak.
Pada 6 petang, ringgit turun kepada 3.9425/9535 berbanding dolar AS daripada 3.9415/9480 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit didagangkan rendah berbanding dolar AS, dengan pasangan USD/MYR mencecah RM3.9533 pada sesi petang.
“Sentimen pasaran minggu depan akan terus tertumpu kepada perang di Iran, sama ada perang itu akan memuncak sehingga menjadi konflik serantau,” katanya kepada Bernama.
Ketika ini, dolar-ringgit berlegar pada sekitar RM3.9503, susut daripada angka pada Jumaat minggu lepas apabila ditutup pada RM3.8925, atau penurunan sebanyak 1.5 peratus.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan meningkat berbanding pound British kepada 5.2530/2676 daripada 5.2635/2722 ketika ditutup semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5634/5762 daripada 4.5808/5884.
Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4973/5044 daripada 2.5080/5124.
Mata wang tempatan juga diniagakan kukuh berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3392/3810 daripada 12.4711/5016 ketika ditutup pada Khamis, dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0779/0867 daripada 3.0885/0938.
Ringgit turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 232.9/233.6 daripada 233.1/233.6 dan lebih stabil berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.70 daripada 6.72/6.74 semalam.
-- BERNAMA