BERITA TERKINI   Perolehan Gamuda Bhd melonjak kepada RM4.30 bilion bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 daripada RM3.90 bilion bagi suku sama tahun kewangan 2025 | Untung bersih Gamuda Bhd bagi suku kedua berakhir 31 Jan, 2026 meningkat kepada RM229.52 juta daripada RM218.84 juta pada suku sama tahun kewangan 2025 | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM150 juta baik pulih Baraj Sungai Sarawak - PM Anwar | KSN, PETRA diminta teliti pendekatan menyeluruh atasi banjir, bekalan air di Sarawak - PM Anwar | Sultan Selangor titah rakyat bersabar tunggu pengumuman tarikh Aidilfitri, jangan percaya spekulasi - Istana Alam Shah | 

Malaysia, EU Teruskan Rundingan Pusingan Keempat MEUFTA Pada Jun 2026

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) akan meneruskan rundingan pusingan keempat bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) pada Jun 2026, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Rundingan yang akan dianjurkan oleh Malaysia itu susulan momentum positif yang dicapai dalam beberapa rundingan terdahulu.

MITI berkata rundingan MEUFTA setakat ini memasuki pusingan ketiga yang berlangsung di Brussels, Belgium dari 9 hingga 13 Feb, 2026.

Rundingan tersebut merupakan kesinambungan kepada pengumuman penyambungan semula rundingan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada 20 Jan, 2025 semasa lawatan kerja beliau ke Brussels.

MITI berkata sejak pusingan pertama yang diadakan pada 30 Jun hingga 4 Julai, 2025, kedua-dua pihak menunjukkan komitmen tinggi untuk merapatkan jurang pendirian dalam pelbagai isu tertunggak berkaitan perjanjian berkenaan.

“Hasilnya, kemajuan ketara dicapai dalam beberapa bidang utama termasuk perdagangan barangan, perdagangan perkhidmatan dan pelaburan.

“Kedua-dua pihak turut memperkukuh kerjasama dalam usaha membina keupayaan industri tempatan agar lebih berdaya saing dalam memenuhi peraturan dan piawaian kelestarian Kesatuan Eropah yang semakin mencabar,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Negara yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab pertanyaan daripada Senator Datuk Rosni Sohar yang ingin mengetahui status terkini rundingan MEUFTA serta apakah isu utama yang masih menghalang perjanjian tersebut daripada dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan melalui MITI bersama kementerian dan agensi berkaitan kekal komited memastikan MEUFTA yang bakal dimuktamadkan kelak dapat memberikan faedah yang optimum kepada Malaysia.

Perjanjian itu dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, memperkasakan syarikat tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memacu daya saing Malaysia di peringkat global.

-- BERNAMA