BERITA TERKINI   Anak syarikat Pansar Bhd, Perbena Emas Sdn Bhd memperoleh kontrak RM234.88 juta daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak untuk naik taraf Loji Rawatan Air Kaki Wong di Saratok | Semua pengimportan kenderaan elektrik CBU yang dipasang siap di luar negara adalah tertakluk kepada dua syarat utama bermula 1 Julai 2026 - MITI | MITI benarkan baki stok sedia ada dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis | Dasar berkaitan kenderaan elektrik CBU dikembalikan kepada ketetapan sedia ada susulan penamatan tempoh pengecualian khas pada 31 Dis 2025 - MITI | Seorang lelaki berusia 70 tahun menjadi jemaah kedua meninggal dunia di Makkah akibat serangan jantung- Tabung Haji | 

AirBorneo Kekal Harga Tambang Walaupun Kos Bahan Api Melonjak

KUCHING, 16 Mac (Bernama) -- AirBorneo mengekalkan tambang penerbangan tidak berubah walaupun kos bahan api global melonjak memandangkan syarikat penerbangan itu lebih mengutamakan sambungan berharga rendah untuk komuniti di Sarawak dan Sabah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin.

Walaupun kos operasi meningkat berikutan lonjakan harga bahan api, syarikat penerbangan itu tidak memperkenalkan sebarang pelarasan tambang pada peringkat ini.

“Ada sedikit peningkatan dalam perbelanjaan kami, khususnya kos bahan api tetapi buat masa ini tambang kekal sama.

“Perancangan kami untuk Fasa 2 masih diteruskan. Apa pun kami tetap menyasarkan tarikh pelancaran kami (untuk penerbangan serantau Julai ini),” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa AirBorneo bersama media di sini hari ini.

Megat Ardian Wira berkata operasi syarikat penerbangan itu didorong bukan sahaja oleh pertimbangan komersial tetapi juga oleh misi sosial yang kukuh, khususnya dalam menyediakan perkhidmatan udara kepada komuniti desa di bawah rangkaian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

“Misi kami adalah mengenai kesalinghubungan. Ia adalah agenda sosial dan juga sebahagian daripada komitmen kami di bawah perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya, sambil menambah bahawa sebarang surcaj bahan api atau pelarasan tambang memerlukan perundingan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.

Beliau menjelaskan bahawa AirBorneo memantau dengan teliti harga bahan api dan tenaga global, sambil melaksanakan strategi seperti perancangan perolehan bahan api serta operasi untuk mengurangkan potensi kenaikan kos.

“Pada masa ini, kami tidak menaikkan sebarang harga tambang. Sebarang pelarasan masa depan perlu dibincangkan dengan pihak berkepentingan,” katanya.

CEO itu juga menyerlahkan pencapaian operasi syarikat penerbangan berkenaan sejak pengambilalihan MASwings Sdn Bhd, dengan menjelaskan bahawa AirBorneo telah membawa hampir 100,000 penumpang sejak dua setengah bulan lalu, mengekalkan prestasi tepat pada masa dan kepuasan penumpang.

“Kesalinghubungan tetap menjadi keutamaan kami. Sama ada kepada komuniti luar bandar atau perjalanan serantau, kami menyasarkan untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan mampu milik bagi semua,” katanya.

-- BERNAMA