Pengendali OSV Sedia Raih Manfaat Apabila Syarikat Minyak Alihkan Fokus Dari Asia Barat
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Keputusan syarikat minyak untuk beralih daripada pasaran Asia Barat dan menyokong penerokaan minyak mentah luar pesisir di Asia Tenggara berpotensi memberi manfaat kepada pengendali kapal sokongan luar pesisir (OSV).
Langkah untuk menyusun semula pelaburan akan bergantung kepada selama mana perang di Asia Barat, gangguan berterusan di Selat Hormuz, kenaikan harga minyak dan kos ekonomi untuk penerokaan minyak dan gas (O&G) huluan.
Bagi memahaminya dengan baik, faktor-faktor pendorong itu meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan bekalan minyak global, lebih-lebih lagi dengan harga minyak mentah kini melebihi US$100 setong, yang memberi tekanan kepada negara-negara pengguna minyak.
Pasaran tenaga global terus terjejas teruk oleh gangguan bekalan minyak dari Asia Barat, kerana rantau itu menyumbang sebahagian besar pengeluaran dan eksport minyak dunia. Kewujudan laluan transit yang kritikal seperti Selat Hormuz, memainkan peranan penting dalam situasi itu.
Dan hasilnya, mungkin terdapat kelebihan untuk syarikat perkhidmatan sokongan marin luar pesisir serantau yang menyokong industri O&G huluan seperti Perdana Petroleum Bhd.
Ini disebabkan ketidakstabilan yang berpanjangan di Asia Barat boleh mempengaruhi dinamik harga minyak dan keputusan untuk melabur dalam sektor huluan di seluruh dunia, dengan kesannya ke atas penerokaan luar pesisir dan perkhidmatan sokongan yang berkaitan.
Dalam konteks ini, penyedia perkhidmatan luar pesisir seperti Perdana Petroleum boleh mendapat manfaat sekiranya harga minyak mentah yang lebih tinggi meningkatkan daya ekonomi projek O&G huluan.
Pengarah Urusan Perdana Petroleum Jamalludin Obeng berkata konflik ketenteraan yang sedang berlaku ini berada di wilayah pengeluar minyak utama yang bertanggungjawab terhadap kira-kira 20 peratus daripada bekalan O&G global, membayangkan negara-negara lain kini sedang mencari sumber bekalan tenaga alternatif yang lebih terjamin.
“Walaupun syarikat minyak utama dan syarikat minyak nasional masih belum membuat pengumuman mengenai perubahan dalam perbelanjaan modal atau operasi, secara semula jadinya dengan perkembangan ini, rantau pengeluar lain termasuk Asia Tenggara, mungkin perlu meningkatkan pengeluaran untuk menyokong permintaan tenaga global.
“Ini pada akhirnya boleh membawa kepada peningkatan aktiviti huluan dan permintaan yang lebih tinggi terhadap OSV,” katanya kepada Bernama.
Risiko Bekalan Tenaga
Jamalludin berkata harga minyak mentah yang tinggi secara berterusan boleh meningkatkan daya ekonomi projek-projek O&G huluan, sekali gus menggalakkan syarikat minyak utama dan syarikat minyak nasional meneruskan aktiviti penerokaan, pembangunan dan pengeluaran.
“Apabila projek luar pesisir berkembang, permintaan untuk perkhidmatan sokongan seperti sewaan kapal, logistik luar pesisir dan sokongan marin biasanya meningkat, yang memberi manfaat kepada pengendali OSV,” katanya.
Unjuran Aktiviti Luar Pesisir
Kadar penggunaan armada Perdana Petroleum kini berada pada paras yang sihat dan biasanya meningkat lebih tinggi semasa musim bukan monsun, terutamanya pada suku kedua dan ketiga tahun ini.
“Asia Tenggara kekal sebagai rantau untuk aktiviti luar pesisir yang aktif dan di Perdana Petroleum, kami juga membuat bidaan untuk kontrak di luar Malaysia, di negara-negara yang berdekatan.
“Di Malaysia, dengan Petronas terus mengekalkan tahap pengeluaran sambil melabur dalam pengeluaran mampan dan pembangunan medan baharu, ia membuka peluang untuk pengendali OSV menyokong aktiviti penggerudian, pembangunan dan penyelenggaraan luar pesisir,” kata Jamalludin.
Beliau berkata asas jangka sederhana sektor OSV dijangka kekal stabil pada 2026, walaupun dengan ketegangan semasa dan gangguan bekalan di Asia Barat.
Unjuran ini disokong oleh komitmen berterusan Petronas terhadap aktiviti penerokaan dan pengeluaran luar pesisir, yang menyediakan permintaan asas untuk OSV.
Bagaimanapun, Jamalludin berkata syarikat akan terus bergerak secara berhati-hati memandangkan persekitaran operasi masih dipengaruhi oleh cabaran ekonomi yang lebih luas dan ketidakpastian geopolitik.
“Di peringkat industri, kebimbangan masih wujud mengenai armada OSV yang semakin berusia dan kadar penghantaran kapal baharu yang perlahan, yang boleh mengehadkan bekalan kapal dalam jangka sederhana dan menyokong kadar sewaan yang lebih kukuh,” katanya.
Peralihan Pelaburan Masih Tidak Menentu
Walaupun harga minyak yang lebih tinggi mungkin menyokong aktiviti huluan, ia mungkin terlalu awal untuk menjangkakan perubahan segera dalam strategi pelaburan tenaga global.
Ketua Ahli Ekonomi CGS International Securities Malaysia Nazmi Idrus berkata masih terlalu awal untuk menentukan sama ada konflik yang sedang berlaku akan membawa kepada penyusunan semula yang ketara dalam keputusan pelaburan tenaga.
“Saya tidak pasti sama ada sesiapa akan mengubah strategi pelaburan mereka seawal ini dalam konflik. Kita perlu melihat sama ada konflik ini akan berlarutan dalam jangka panjang, dan jika ya, barulah pelaburan akan disusun semula mengikut realiti baharu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ketegangan geopolitik di Asia Barat akan meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global.
Beliau berkata industri O&G sedang mengalami perubahan struktur memandangkan ekonomi beralih ke arah tenaga boleh baharu dan kenderaan elektrik.
Aktiviti platform minyak global masih belum pulih ke tahap sebelum 2014 selepas kejatuhan harga minyak yang sebahagiannya dicetuskan oleh peningkatan bekalan, termasuk daripada pengeluaran syal Amerika Syarikat (AS), katanya.
"Peralihan struktur dalam industri ini adalah nyata memandangkan lebih banyak ekonomi beralih ke arah sumber tenaga mampan, walaupun O&G masih relevan kerana kepentingannya dalam petrokimia dan pelbagai aplikasi perindustrian," kata beliau.
Mohd Afzanizam menambah walaupun terdapat risiko bekalan akibat ketegangan geopolitik, syarikat minyak tidak semestinya akan meningkatkan perbelanjaan modal secara signifikan memandangkan keputusan pelaburan masih banyak didorong oleh pertimbangan komersial dan trend permintaan jangka panjang.
Walaupun ketegangan geopolitik boleh memberikan sokongan jangka pendek kepada harga minyak dan aktiviti luar pesisir, unjuran jangka panjang untuk pelaburan huluan akan terus dipengaruhi oleh perubahan permintaan tenaga, dinamik bekalan dan peralihan global ke arah sumber tenaga yang lebih bersih.
-- BERNAMA