BERITA TERKINI   Tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia susulan gempa bumi kuat di Laut Banda, Indonesia - MetMalaysia | Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap dan Baling catat gelombang haba Tahap 2 setakat 6 pagi ini - MetMalaysia | 

Ringgit Mengukuh Kekalkan IHPR dalam Deflasi Sederhana pada 2026

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Ringgit yang lebih kukuh dan kos input yang terkawal dijangka mengekalkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dalam deflasi sederhana pada 2026, pada -2.2 peratus berbanding -2.0 peratus tahun lepas, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (KIBB).

Bank pelaburan itu berkata peningkatan nilai mata wang mengurangkan kos mata wang tempatan bagi bahan perantara diimport terutamanya dalam pembuatan, mengimbangi kenaikan sederhana dalam minyak mentah Brent (unjuran KIBB 2026: US$67.0 setong (bbl) berbanding US$63.0 setong pada 2025).

“Dengan pertumbuhan hampir mencapai potensi, kuasa penetapan harga firma dijangka kekal terhad, sekali gus menstabilkan harga di peringkat kilang,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, KIBB berkata kesan limpahan kepada harga pengguna dijangka kekal rendah, menjadikan Indeks Harga Pengguna (IHP) berada pada sekitar 1.9 peratus pada 2026.

“Inflasi perkhidmatan dan mekanisme harga kawalan mungkin akan mengimbangi turun naik harga di peringkat awal, manakala keadaan permintaan seimbang akan mengurangkan risiko kenaikan harga didorong oleh margin keuntungan, katanya.

Bagaimanapun, KIBB memberi amaran bahawa peralihan tarif dan ketegangan geopolitik bakal mendatangkan risiko kenaikan harga, walaupun tanpa gangguan bekalan yang besar, deflasi IHPR dijangka kekal pada tahap rendah dan terkawal.

-- BERNAMA