Akta Khusus BNPL Lindung Pengguna Terutama Generasi Muda Daripada Bebanan Hutang

​​​​​KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Penggubalan satu akta khusus berkaitan skim ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL) adalah penting untuk melindungi pengguna terutama generasi muda daripada bebanan hutang yang tinggi.

Pengerusi Persatuan Global Law Thinker Society (GLTS) Malaysia Muhammad Nazrin Faiz berkata langkah itu penting untuk memastikan keseimbangan antara keperluan pengguna dan kepentingan peniaga.

“Kalau kita lihat pada hari ini, undang-undang masih lagi dalam proses untuk disesuaikan dengan BNPL kerana belum dapat dipastikan lagi di mana kerangka undang-undang itu perlu diletakkan.

“Perlu ada satu platform yang jelas supaya pengguna tahu had pembelian mereka. Pada masa sama, pihak penjual juga mengetahui kos atau kadar faedah yang  wajar dikenakan,” katanya dalam program Darah Muda terbitan Bernama TV pada Jumaat.

Beliau berkata penggubalan itu juga dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila peniaga boleh terus menjana keuntungan manakala pengguna pula boleh berbelanja tanpa berdepan risiko kewangan.

Muhammad Nazrin juga menyarankan supaya pihak berkepentingan seperti pertubuhan bukan kerajaan menggiatkan lagi kempen atau program literasi kewangan untuk pengguna.

Dari segi peranan, NGO boleh melaksanakan program yang bertujuan memperkasakan undang-undang terutama melibatkan Akta Kredit Pengguna atau apa-apa akta lain yang berkaitan dan lebih khusus.

“Apabila kita bentangkan (hasil program itu), seterusnya dibawa ke peringkat (penggubalan) undang-undang, akhirnya kita bukan sahaja menjaga peniaga, malah kita mahu melindungi pengguna.

“Perkara ini akan membawa impak positif kepada ekonomi negara secara keseluruhan. Hutang yang banyak akan membawa kesan kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA