Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Lonjakan Harga Minyak, Krisis Asia Barat

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, menjejaki prestasi sebahagian besar pasaran serantau ketika pelabur mengatur semula pendedahan risiko masing-masing di tengah-tengah lonjakan harga minyak susulan krisis Asia Barat yang kini masuk bulan kedua.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkenaan susut 24.75 mata atau 1.44  peratus kepada 1,687.90 daripada 1,712.65 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 10.57 mata kepada 1,702.08, malah bergerak turun naik dalam julat 1,682.79 hingga 1,702.38.

Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 956 berbanding 371 manakala 373 tidak berubah, sebanyak 1,042 tidak diniagakan dan 134 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.98 bilion unit bernilai RM4.85 bilion daripada 2.97 bilion unit bernilai RM3.25 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran Asia yang lebih luas kekal tertekan apabila krisis Asia Barat terus menjejaskan sentimen semasa.

Walaupun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi bayangan bahawa rundingan dengan Iran masih dijalankan dan perjanjian berkemungkinan dapat dicapai, realiti sebaliknya apabila ketiadaan kemajuan konkrit hanya menjadikan pelabur kekal berhati-hati.

Beliau berkata walaupun indeks utama susut 1.44 peratus, tindakan penjualan itu lebih terkawal berbanding kemerosotan ketara pada 9 Mac lepas, yang lebih memaparkan pelarasan risiko yang lebih terkawal berbanding jualan akibat panik.

“Di sebalik ketidaktentuan, pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih ekuiti menerusi semua hari dagangan pada minggu lepas yang menunjukkan minat luaran masih ada.

“Indeks berkemungkinan terus mencatat konsolidasi ketika pelabur berpendirian tunggu dan lihat dengan paras sokongan diunjur pada 1,680. Susulan ketiadaan pemangkin yang positif, FBM KLCI berkemungkinan diniagakan dalam julat 1,680-1,720 pada minggu ini,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi nada sama, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kenaikan harga tenaga hanya mengukuhkan lagi jangkaan persekitaran inflasi yang lebih ketara.

Keadaan itu hanya menjejaskan keyakinan terhadap usaha pelonggaran monetari dalam masa terdekat serta impak ke atas penilaian ekuiti, khususnya segmen yang sensitif terhadap sebarang perubahan kadar faedah.

Beliau berkata walaupun indeks susut 1.44 peratus, penurunan itu masih terkawal berbanding penurunan ketara pada 9 Mac lepas, sekali gus membayangkan pelarasan risiko dapat diurus berbanding jangkaan jualan panik.

“Apa yang menarik, di sebalik ketidaktentuan baru-baru ini, pelabur asing muncul sebagai pembeli bersih ekuiti Malaysia sepanjang tempoh hari dagangan pada minggu lepas yang membuktikan minat luaran tidak terjejas,” katanya.

Keadaan itu secara umumnya selari penurunan ekuiti Jepun berikutan kebimbangan terhadap kos tenaga lebih tinggi ketika pasaran Korea Selatan diasak tekanan jualan yang diterajui sektor teknologi, mencerminkan sentimen mengelak risiko lebih ketara.

Senario itu, katanya, disebabkan pasaran beralih kepada rejim bercirikan inflasi lebih tinggi, risiko tenaga dan keadaan kewangan lebih ketat.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Sunway Healthcare susut 28 sen kepada RM2.09, Maybank turun 26 sen kepada RM11.20, Public Bank berkurangan 14 sen kepada RM4.66 dan CIMB berkurangan 22 sen kepada RM7.48.

Empat kaunter ini menyumbang sebanyak 19.87 mata kepada indeks utama.

Kaunter paling aktif didahului Top Glove yang menambah enam sen kepada 63 sen, Zetrix AI naik dua sen kepada 75.5 sen, VS Industry susut dua sen kepada 21.5 sen dan Capital A berkurangan 2.5 sen kepada 39 sen.

Selain itu, kaunter paling untung menyaksikan Batu Kawan menokok RM1.54 kepada RM21.30, Kuala Lumpur Kepong menambah RM1.36 kepada RM21.48, Press Metal naik 48 sen kepada RM8.09 dan Petronas Chemicals meningkat 33 sen kepada RM6.13.

Bagi kaunter paling rugi, Fraser & Neave merosot 76 sen kepada RM30.00, Malaysian Pacific turun 68 sen kepada RM28.32, Hong Leong Financial turun 50 sen kepada RM18.90 dan Hong Leong Bank susut 40 sen kepada RM21.90. 

Di papan indeks pula, Indeks FBM Top 100 susut 184.32 mata kepada 12,153.18, Indeks FBM Emas merosot 186.52 mata kepada 12,278.73, Indeks FBM 70 kehilangan 281.54 mata kepada 16,817.24, Indeks FBM Emas Shariah turun 119.94 mata kepada 12,152.25 manakala Indeks FBM ACE berkurangan 82.66 mata kepada 4,244.79.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 478.39 mata kepada 19,849.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian sebaliknya naik 2.28 mata kepada 185.17, Indeks Tenaga menokok 9.75 mata kepada 808.04 manakala Indeks Perladangan melonjak 311.57 mata kepada 9,016.54.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.54 bilion unit bernilai RM4.59 bilion berbanding 1.89 bilion unit bernilai RM3.05 bilion pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, jumlah waran menokok kepada 1.13 bilion unit bernilai RM148.35 juta daripada  818.64 juta unit bernilai RM109.49 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 301.21 juta unit bernilai RM109.89 juta berbanding 255.80 juta unit bernilai RM88.32 juta pada Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 314.46 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama dan diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (396.44 juta), pembinaan (257.77 juta), teknologi (253.04 juta), perkhidmatan kewangan (147.55 juta), hartanah (167.58 juta), perladangan (134.32 juta), amanah pelaburan hartanah (32.54 juta), dana tertutup (19,400), tenaga (258.01 juta), penjagaan kesihatan (414.69 juta), telekomunikasi dan media (37.96 juta), pengangkutan dan logistik (57.25 juta), utiliti (71.36 juta) serta amanah perniagaan (160,300).

-- BERNAMA