BERITA TERKINI   Kerajaan Negeri Pahang akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) dua hari seminggu bermula minggu hadapan- MB | KSN diarah teliti langkah kurangkan birokrasi permohonan lesen perniagaan bagi mudahkan urusan sektor terkesan krisis global - Fahmi | Semua mesyuarat ASEAN tahun ini dilaksanakan secara dalam talian kecuali melibatkan ketua-ketua kerajaan - Fahmi | Kabinet setuju tubuhkan Pusat Arahan Komunikasi bagi menyelaras aspek komunikasi berkaitan krisis tenaga global - Fahmi | Implikasi kos daripada bahan mentah dan kos lain dapat dilihat selepas Jun - Suruhanjaya Tenaga | 

Lebihan Akaun Semasa Malaysia Diunjur Meningkat 1.5-2.5 Peratus Daripada KDNK Pada 2026 - CIMB

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan lebihan akaun semasa Malaysia meningkat kepada 1.5 hingga 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026, menurut CIMB Treasury and Market Research.

Menurut firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini, potensi pertumbuhan itu disokong oleh lebihan barangan yang lebih tinggi sebanyak RM128.1 bilion pada 2026 (2025:RM110.9 bilion) dan lebihan perkhidmatan yang lebih besar sebanyak RM5 bilion (2025: RM1.2 bilion).

Katanya lebihan perkhidmatan itu mendapat manfaat daripada ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan pengoperasian kemudahan pusat data secara berperingkat.

Bagaimanapun, katanya sebahagian pertumbuhan itu dijangka diimbangi oleh defisit pendapatan primer sebanyak -RM74.2 bilion daripada -RM69.5 bilion pada 2025.

Ini mencerminkan aliran keluar keuntungan yang berterusan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia dan defisit pendapatan sekunder yang lebih tinggi sebanyak -RM13.2 bilion (2025: -RM10.8 bilion) didorong oleh kiriman wang ke luar negara oleh pekerja asing, menurut CIMB.

Menurut firma penyelidikan itu, konflik di Asia Barat yang berterusan memperkenalkan risiko dua hala kepada prospek ini, sebahagian besarnya gangguan berpanjangan terhadap laluan perkapalan global dan infrastruktur tenaga.

“Ini boleh menjejaskan permintaan luaran dan aktiviti pelancongan walaupun kedudukan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih yang didorong oleh lebihan gas asli cecair (LNG) memberikan lindung nilai separa terhadap harga tenaga global yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangka Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat, dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada 2026 berdasarkan jangkaan BNM terhadap pertumbuhan yang mampan dan inflasi sederhana.

“Dalam masa terdekat, potensi pengeluaran Malaysia akan terus disokong oleh pengumpulan modal dan produktiviti meningkat dalam persekitaran pelaburan lebih tinggi dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta elektrik dan elektronik (E&E),” menurut HLIB.

-- BERNAMA