MTA Lancar Pelan Tindakan 2025 Blueprint, Laporan Kemampanan Takaful
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah melancarkan Pelan Tindakan Sektor Kewangan (FSB) 2025 dan Laporan Kemampanan untuk Takaful hari ini, yang mendedahkan kemajuan industri dalam memajukan keterangkuman kewangan, kemampanan dan transformasi digital.
Laporan itu menyepadukan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) serta perspektif pengantaraan berasaskan nilai, selaras dengan rangka kerja pelan hala tuju Hijrah27, rangka kerja industri Takaful.
Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata laporan itu dipandu oleh Pelan Tindakan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022–2026, yang merangkumi beberapa sektor termasuk takaful.
Penerbitan tersebut menggabungkan Laporan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2025 dan Laporan Kemampanan untuk Takaful menjadi satu dokumen komprehensif.
“Salah satu tonggak utama ialah ekonomi hijau, yang mana kami memberi tumpuan kepada aspek kemampanan. Oleh itu, kami adalah industri pertama dalam sektor kewangan yang menghasilkan laporan kemampanan di peringkat industri,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran hari ini.
Sementara itu, beliau berkata celik kewangan adalah antara teras strategik yang digariskan dalam laporan itu, menyuarakan harapan bahawa inisiatif MTA akan mengukuhkan pemahaman orang ramai mengenai kepentingannya.
MTA juga telah bekerjasama dengan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) dalam melahirkan jurulatih program pengurusan kewangan peribadi untuk guru.
Berdasarkan inisiatif sedia ada FINCO, MTA akan meningkatkan kandungan dengan memasukkan elemen perlindungan risiko dan kesedaran takaful, mengukuhkan keseluruhan rangka kerja celik kewangan, katanya melalui satu kenyataan.
“Program ini bertujuan untuk melengkapkan pendidik dengan pengetahuan dan keyakinan bagi menguruskan kewangan peribadi mereka, di samping membolehkan mereka menyampaikan pendidikan kewangan yang lebih holistik, termasuk kesedaran perlindungan, kepada pelajar,” kata Mohd Radzuan.
Inisiatif itu juga akan mewujudkan kesan berganda, dengan pendidik bertindak sebagai pemangkin dalam membentuk generasi masa depan yang bertanggungjawab dari segi kewangan.
Sejajar dengan itu, MTA telah bekerjasama dengan Institut Insurans Asia (AII) dan Institut Bertauliah Profesional Kewangan Islam (CIIF) dalam Program Pengurusan Agensi Profesional (PAMP).
Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan keupayaan pemimpin agensi, membolehkan mereka membimbing ejen muda dengan lebih baik mengenai tugas dan tanggungjawab mereka terhadap peserta.
“Bagi melengkapkan program PAMP, CIIF telah membangunkan program Kepimpinan, Etika dan Pembangunan Amanah (L.E.A.D), yang memfokuskan kepada aspek Syariah yang harus dititikberatkan oleh pemimpin agensi semasa mereka membimbing golongan muda.
“Secara bersama, program PAMP dan L.E.A.D bersedia untuk memupuk pemimpin agensi yang profesional, beretika, bertanggungjawab serta berpengetahuan tinggi,” katanya lagi.
Program L.E.A.D memperluaskan PAMP dengan menerapkan prinsip Maqasid Syariah, kepimpinan beretika dan amanah ke dalam amalan kepimpinan agensi.
-- BERNAMA