Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari Dalam Persekitaran Prestasi Bercampur Serantau
KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup sedikit tinggi pada tengah hari, susulan prestasi bercampur-campur di pasaran serantau berikutan ketidakpastian mengenai kesan krisis Asia Barat.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.56 mata kepada 1,700.86 berbanding paras 1,698.30 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 5.82 mata lebih tinggi pada 1,704.12 bergerak antara 1,698.60 dan 1,708.12 sepanjang sesi pagi.
Sentimen pasaran positif dengan 582 kaunter untung mengatasi 346 kaunter yang rugi, manakala 448 kaunter tidak berubah, 1,271 kaunter tidak diniagakan dan 10 kaunter digantung.
Jumlah dagangan ialah 1.83 bilion unit bernilai RM1.42 bilion.
Apex Securities Bhd berkata keadaan global masih tidak stabil apabila ketegangan Asia Barat yang meningkat dan perlindungan perdagangan Amerika Syarikat (AS) menjejaskan sentimen pasaran.
Selain itu, AS memperkenalkan langkah tarif menyeluruh, termasuk sehingga 100 peratus ke atas ubat yang dipatenkan, serta 20 peratus levi ke atas syarikat yang memindahkan operasi ke dalam negara (onshoring) yang meningkat kepada 100 peratus dalam tempoh empat tahun, tertakluk kepada syarat pematuhan, pengecualian dan tarikh akhir Januari 2029.
“Berdasarkan perkembangan ini, pasaran Malaysia dijangka kekal berhati-hati, dengan sektor tenaga disokong oleh harga minyak yang kukuh, manakala sektor berorientasikan eksport dan pembuatan menghadapi cabaran daripada permintaan lemah serta tekanan kos yang meningkat,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Apex Securities mengekalkan pandangan positif terhadap sektor tenaga berikutan ketegangan Asia Barat, dengan syarikat minyak dan gas huluan mendapat manfaat daripada harga minyak mentah yang tinggi, menyokong keuntungan jangka pendek.
Syarikat itu berkata kaunter perladangan mungkin mendapat sokongan tidak langsung daripada permintaan biobahan api yang lebih kukuh, manakala utiliti defensif kekal menarik apabila pelabur mencari kestabilan dalam situasi pasaran yang tidak menentu.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank merosot lapan sen kepada RM11.38, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.68, CIMB susut sembilan sen kepada RM7.50, Tenaga Nasional meningkat dua sen kepada RM14.02, manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.96.
Kaunter paling aktif, V.S. Industry turun setengah sen kepada 18 sen, Top Glove meningkat tiga sen kepada 79 sen, Supermax Corporation naik 4.5 sen kepada 35 sen, Zetrix AI meningkat 2.5 sen kepada 77.5 sen, dan Careplus Group naik satu sen kepada sembilan sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle meningkat RM2.84 kepada RM101.70, Kuala Lumpur Kepong naik RM1.06 kepada RM22.94, United Plantations meningkat 50 sen kepada RM34.50, Malaysian Pacific Industries naik 34 sen kepada RM29.42, dan YTL Power meningkat 30 sen kepada RM3.50.
Sementara itu, antara kaunter paling rugi, Hong Leong Bank merosot 30 sen kepada RM21.70, Westports susut 18 sen kepada RM5.26, RHB Bank dan Petronas Chemicals turun 17 sen masing-masing kepada RM8.37 dan RM5.80, manakala Fraser & Neave Holdings merosot 14 sen kepada RM29.16.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 33.38 mata kepada 12,290.39, Indeks FBM Emas naik 40.90 mata kepada 12,429.52, Indeks FBM Emas Shariah bertambah 89.20 mata kepada 12,286.12, Indeks FBM ACE meningkat 35.90 mata kepada 4,306.04, manakala Indeks FBM Mid 70 melonjak 111.22 mata kepada 17,198.11.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 171.02 mata kepada 19,967.23, manakala Indeks Perladangan meningkat 127.13 mata kepada 9,217.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik sedikit 0.06 mata kepada 183.46, dan Indeks Tenaga meningkat 6.77 mata kepada 813.40.
-- BERNAMA