BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Malaysia Paling Kurang Terjejas Di ASEAN Oleh Konflik Asia Barat - RHBIB

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Malaysia merupakan negara ASEAN yang paling kurang terjejas oleh konflik di Asia Barat, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHBIB).

Menurut bank pelaburan itu dalam laporan Ekonomi Global dan Strategi Pasarannya, bagaimanapun, risiko yang berpanjangan atau meningkat boleh menjejaskan harga minyak dan prospek perdagangan Malaysia berbanding unjuran dalaman semasa mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus.

“Secara keseluruhannya, keputusan menunjukkan bahawa harga minyak yang lebih tinggi memberi impak yang ketara terhadap ekonomi Malaysia.

“Walaupun kenaikan kos tenaga boleh memberi impak sederhana kepada pertumbuhan dengan perbelanjaan pengeluaran yang meningkat, kesan ini sebahagiannya diimbangi oleh perdagangan luaran yang lebih kukuh, terutamanya melalui eksport minyak dan gas yang amat responsif terhadap pergerakan harga minyak,” katanya.

Menurut RHBIB, tekanan inflasi lebih ketara pada peringkat pengeluar, dengan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) menjadi saluran penghantaran utama manakala impaknya terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP) kekal terhad disebabkan subsidi dan kesan sampingan tidak langsung.

Katanya eksport bukan minyak dan gas kekal terlindung daripada turun naik harga minyak dan didorong terutamanya oleh permintaan luaran dan pergerakan kadar pertukaran dalam jangka masa panjang.

Sebagai pengeksport tenaga bersih, Malaysia akan mendapat manfaat daripada pendapatan minyak dan gas yang lebih tinggi, menyokong pertumbuhan melalui saluran perdagangan walaupun harga yang tinggi boleh memberi tekanan kepada inflasi dan kos pengeluaran.

Menurut RHBIB, pihaknya terus berwaspada mengenai perkembangan luaran dan potensi kesan limpahan terhadap ekonomi domestik.

-- BERNAMA