BERITA TERKINI   MCMC turunkan 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global di pelbagai platfom media sosial dalam tempoh empat hari sejak 29 Mac - Fahmi | Piala Malaysia: Kuala Lumpur City FC 0-4 Johor Darul Ta'zim | Seramai 17 individu disiasat MCMC dipercayai sebar maklumat palsu di media sosial berkaitan krisis tenaga global - Teo Nie Ching | MDEC, JAKIM akan bekerjasama menyediakan kemudahan pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan di institusi pendidikan perintis di enam negeri - PM Anwar | Pendidikan disertai pengukuhan adab serta nilai kemanusian merupakan asas penting membentuk generasi pelapis negara- PM Anwar | 

Malaysia Catat Jualan Lebih RM200 Juta Pada Pameran Makanan Dan Minuman China

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Malaysia memperoleh jualan lebih RM200 juta pada Pameran Makanan dan Minuman China (CFDF) ke-114 bulan lepas hasil penyertaan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama Messe Worldwide Sdn Bhd.

MATRADE berkata pavilion Malaysia dalam pameran yang diadakan di Chengdu, Sichuan, China itu menampilkan sembilan perusahan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia yang dinamik di bawah Program Gerbang ke Global Majlis Amanah Rakyat (MARA). 

“Sepanjang penyertaan selama tiga hari (berakhir 28 Mac), Pavilion Malaysia telah menjadi tumpuan interaksi perniagaan, menganjurkan lebih 60 mesyuarat perniagaan yang disasarkan,” kata agensi promosi perdagangan negara itu dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut MATRADE, semua sesi itu menghubungkan pempamer dengan pembeli berprofil tinggi dari seluruh China. 

“Ini mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk Malaysia yang berkualiti tinggi dan diperakui halal serta komitmen bersama terhadap perkongsian rentas sempadan jangka panjang,” katanya. 

CFDF merupakan salah satu pameran perdagangan terbesar, paling lama dan paling berpengaruh di China, dengan sejarah yang menjangkau beberapa dekad. 

“Diadakan di barat China, acara itu berperanan sebagai pintu masuk penting kepada jenama makanan dan minuman global untuk menembusi pasaran pengguna terbesar di dunia.

“Didorong oleh kelas menengah yang semakin meningkat, generasi muda yang celik trend dan komuniti antarabangsa yang semakin berkembang, rantau itu juga menyaksikan peningkatan permintaan untuk pelbagai citarasa global,” kata agensi itu. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata ia selaras dengan strategi kepelbagaian pasaran, yang memberi tumpuan kepada penerokaan bandar tahap dua dan tiga yang pesat berkembang di China, seperti Chengdu. 

“Acara perdagangan ini telah muncul sebagai pintu masuk utama ke pasaran barat China yang pesat membangun dan membuka peluang kepada produk makanan dan minuman premium Malaysia,” katanya. 

Pada 2025, perdagangan dua hala antara China dan Malaysia mencecah RM541.54 bilion, mengukuhkan lagi kedudukan China sebagai rakan dagang utama Malaysia. 

Selain itu, MATRADE berkata wilayah Sichuan muncul sebagai salah satu daripada 10 rakan dagang wilayah utama Malaysia di China, menyumbang RM18.85 bilion kepada jumlah dagangan.

Dalam pada itu, syarikat Malaysia yang berminat untuk meneroka peluang di China digalakkan untuk menghubungi MATRADE bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pasaran dan platfrom promosi yang disediakan. 

-- BERNAMA