BERITA TERKINI   MCMC turunkan 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global di pelbagai platfom media sosial dalam tempoh empat hari sejak 29 Mac - Fahmi | Piala Malaysia: Kuala Lumpur City FC 0-4 Johor Darul Ta'zim | Seramai 17 individu disiasat MCMC dipercayai sebar maklumat palsu di media sosial berkaitan krisis tenaga global - Teo Nie Ching | MDEC, JAKIM akan bekerjasama menyediakan kemudahan pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan di institusi pendidikan perintis di enam negeri - PM Anwar | Pendidikan disertai pengukuhan adab serta nilai kemanusian merupakan asas penting membentuk generasi pelapis negara- PM Anwar | 

Hassan Marican Dilantik Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis MTEN - Fahmi

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Tan Sri Mohd Hassan Marican dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi menyelaraskan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, Hassan, yang juga Ketua Badan Penasihat Khas Menteri Kewangan akan berperanan meneliti tindakan yang perlu diambil setiap hari, selain mengumpulkan maklum balas berkaitan isu Asia Barat.

“PPPK ini pula mempunyai sekretariat yang dipengerusikan oleh Penasihat Kanan bagi Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein.

“Dua struktur ini akan membantu MTEN yang sekarang bersidang setiap minggu untuk menyelaraskan maklumat secara harian,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman berkaitan kerjasama mengekang aktiviti penipuan (scam), antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di sini, hari ini.

Fahmi turut menjelaskan bahawa tugas pasukan dipimpin Hassan tidak bertindih dengan jawatankuasa khas dipengerusikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang berperanan meneliti perkembangan ekonomi semasa susulan konflik tersebut.

“Apa yang penting usaha kita ialah pertama secara keseluruhannya mengenai bekalan, bukan sahaja bahan api, bahan bakar, tenaga bagi negara kita kekal terjamin untuk bulan-bulan yang akan datang, tapi juga bekalan makanan.

“Pada masa yang sama (juga) untuk memastikan harga barang terkawal dan aktiviti menyeludup atau menyeleweng bahan api, bahan makanan, dapat dikekang,” katanya.

Sejak 28 Feb lepas, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan operasi ketenteraan terhadap Iran yang mengakibatkan ribuan nyawa telah terkorban.

Tehran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah Israel serta pangkalan AS di beberapa negara Arab.

-- BERNAMA