Kenanga IB Optimis Terhadap Sektor Pembinaan Berikutan Permintaan Tinggi Pusat Data
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) kekal optimis terhadap sektor pembinaan, disokong oleh permintaan berterusan untuk pusat-pusat data dan komitmen perbelanjaan modal yang berterusan daripada firma teknologi global sehingga 2026.
Ia berkata kenaikan kos bahan api diesel amat mencabar, memandangkan kos itu lazimnya tidak dipindahkan kepada pelanggan di bawah perjanjian kontrak sedia ada, sekali gus memberi tekanan langsung kepada margin keuntungan.
Sebaliknya, kos bahan tertentu merangkumi klausa pindahan kos (pass-through), yang membolehkan pemain industri mengurangkan sebahagian daripada tekanan inflasi itu.
Ia berkata walaupun pemberian kontrak mencecah paras menghampiri rekod 2024 dan 2025, Kenanga IB mengekalkan unjuran RM180 bilion untuk 2026, memandangkan pembangunan pusat data terus menjadi enjin pertumbuhan utama di samping projek-projek sektor awam yang sedang berjalan.
“Dengan penyaluran projek yang sihat dalam tempoh terdekat dan kitaran pembangunan yang berlanjutan hingga 2030, kami menjangkakan projek pusat data akan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama sektor ini pada 2026,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kerja-kerja infrastruktur utama sedang dalam perancangan, termasuk LRT Pulau Pinang Pakej 2 dan 3, Pan Borneo Fasa 2 serta pelbagai projek peluasan lapangan terbang yang memberikan keterlihatan pendapatan yang seterusnya.
“Walaupun MRT3 telah mendapat kelulusan muktamad daripada Kementerian Pengangkutan, garis masa pelaksanaannya masih belum jelas, tetapi beberapa projek utama dijangka dimulakan dalam masa terdekat.
“Selain itu, Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur–Singapura kekal sebagai pemangkin jangka sederhana,” tambahnya.
Sehubungan itu, Kenanga IB mengekalkan saranan ‘overweight’ ke atas sektor berkenaan, dengan syarikat bermodal besar seperti Gamuda Bhd (harga sasaran (TP): RM5.30), Sunway Construction Group Bhd (TP: RM7.76) dan IJM Corporation Bhd (TP: RM3.40) berada pada kedudukan terbaik untuk memanfaatkan aktiviti pusat data yang berterusan dan projek-projek kukuh yang akan dilaksanakan.
-- BERNAMA