Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah berikutan pasaran terus menilai semula kesan konflik berpanjangan di Asia Barat.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.71 mata kepada 1,675.12 daripada 1,680.83 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu, yang dibuka 3.22 mata lebih tinggi pada 1,684.05, bergerak dalam julat antara 1,674.08 dan 1,687.60 sepanjang sesi.
Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 482 berbanding 296, manakala 530 kaunter tidak berubah, 1,339 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.48 bilion unit bernilai RM1.16 bilion.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata harga tenaga yang tinggi, didorong gangguan di Selat Hormuz dan infrastruktur utama Teluk Parsi, menjejaskan selera risiko pelabur serta menyuramkan prospek pertumbuhan global.
Ketika ini, minyak mentah Brent meningkat 1.67 peratus kepada US$111.66 setong.
“Sebagai pasaran yang sangat bergantung kepada perdagangan, pergerakan FBM KLCI dijangka terus mendatar dalam persekitaran yang tidak menentu, dan dipacu sentimen semasa.
"Paras sokongan dilihat pada 1,630 hingga 1,664, manakala rintangan pada 1,705, 1,723 dan 1,730,” menurut nota penyelidikan itu.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik enam sen kepada RM8.65, Petronas Chemicals melonjak 32 sen kepada RM6.07 dan CelcomDigi tidak berubah pada RM3.01, manakala Maybank dan Public Bank masing-masing susut empat sen kepada RM11.18 dan RM4.60.
Bagi saham aktif, Top Glove meningkat dua sen kepada 80.5 sen, Tanco naik tiga sen kepada RM1.60, Velesto dan Bumi Armada tidak berubah masing-masing pada 35.5 sen dan 36.5 sen, manakala Reneuco susut 1.5 sen kepada setengah sen dan Zetrix AI turun setengah sen kepada 74.5 sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Hong Leong Bank melonjak 38 sen kepada RM21.62, Allianz Malaysia naik 26 sen kepada RM20.66, VSTecs meningkat tujuh sen kepada RM4.60 dan Timberwell bertambah enam sen kepada RM1.14.
Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut RM1.68 kepada RM98.42, United Plantations turun 36 sen kepada RM33.84, Malaysian Pacific merosot 30 sen kepada RM29.00, dan Fraser & Neave berkurang 28 sen kepada RM28.80.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 41.95 mata kepada 12,105.96, Indeks FBM Emas turun 41.95 mata kepada 12,252.12, Indeks FBM Emas Shariah merosot 35.01 mata kepada 12,129.25, Indeks FBM ACE susut 24.42 mata kepada 4,276.04, dan Indeks FBM Mid 70 turun 61.62 mata kepada 16,946.86.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 57.91 mata kepada 19,609.15 dan Indeks Perladangan turun 38.61 mata kepada 9,079.05, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.32 mata kepada 184.27 dan Indeks Tenaga naik 4.97 mata kepada 816.53.
-- BERNAMA