Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup tinggi, dengan indeks petunjuk pasaran naik 1.16 peratus untuk ditutup hampir kepada paras 1,700, disokong oleh sentimen positif susulan berita mengenai gencatan senjata selama dua minggu antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, yang termasuk Tehran membenarkan laluan selamat untuk kapal melalui Selat Hormuz.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 19.45 mata kepada paras tertinggi harian pada 1,696.31 daripada 1,676.86 semasa ditutup pada Selasa. 

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 11.65 mata kepada 1,688.51 dan mencecah paras terendah harian pada 1,683.58 dalam dagangan awal.  

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 855 berbanding 410 manakala 459 kaunter tidak berubah, 941 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.77 bilion unit bernilai RM3.64 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM2.58 bilion semalam.    

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata penyertaan pasaran meningkat sederhana, dengan pembelian terpilih dilihat dalam saham wajaran tinggi dan sektor yang sebelum ini mencatatkan lebihan jualan.

Beliau berkata penurunan harga minyak mentah turut memberikan sedikit kelegaan kepada sektor yang dipengaruhi oleh inflasi, selain mengurangkan kebimbangan mengenai tekanan kos ke atas syarikat.

“Walaupun kami melihat pelan gencatan senjata ini sebagai perkembangan positif, kami tetap berhati-hati berikutan keadaan masih tidak menentu dan boleh berubah secara mendadak.

“Pelabur dijangka kekal selektif, dengan memberi tumpuan kepada saham defensif dan yang mempunyai asas kukuh, selain mengelak pegangan yang agresif,” katanya kepada Bernama.

Dalam masa terdekat, firma itu menjangka FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,680 hingga 1,710 dan pasaran menunggu hala tuju yang lebih jelas. 

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata perjanjian antara AS dan Iran mengenai gencatan senjata selama dua minggu serta pembukaan semula Selat Hormuz telah mengurangkan risiko, mendorong kenaikan harga berikutan kebimbangan berkurangan.

Katanya walaupun ketegangan yang mereda membolehkan pasaran menilai semula jangkaan penurunan kadar faedah, impaknya adalah tidak serta-merta berikutan bank pusat masih berteraskan kepada inflasi asas berbanding turun naik harga tenaga dalam jangka pendek.

“Oleh itu, perkembangan ini perlu dilihat sebagai sementara waktu berbanding perubahan sepenuhnya.

“Dengan harga minyak masih kekal melebihi paras US$90 setong dan krisis kini memasuki minggu keenam, impak pusingan kedua mula dapat dilihat terutamanya melalui tekanan kos dan penyusutan margin keuntungan, yang boleh menjejaskan pendapatan korporat,” katanya kepada Bernama.

Pergerakan Bursa Malaysia sejajar dengan bursa serantau; Indeks Nikkei 225 Jepun meningkat 5.39 peratus kepada 56,308.42, KOSPI Korea Selatan melonjak 6.87 peratus kepada 5,872.34, Indeks Straits Times Singapura naik 0.95 peratus kepada 5,005.03 dan Indeks Hang Seng Hong Kong menambah 3.09 peratus kepada 25,893.02. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Maybank meningkat 16 sen kepada RM11.32, Public Bank menambah 10 sen kepada RM4.70, TNB naik enam sen kepada RM14.06 dan Petronas Chemicals menurun 29 sen kepada RM5.59.

Dalam senarai paling aktif, AirAsia X menokok sembilan sen kepada RM1.25, V.S. Industry menambah satu sen kepada 19.5 sen, Zetrix AI naik dua sen kepada 76 sen dan Velesto berkurangan setengah sen kepada 34 sen. 

Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestle melonjak RM2.70 kepada RM101.00, Petronas Dagangan meningkat RM1.02 kepada RM21.98, Fraser & Neave naik 70 sen kepada RM29.40 dan Hong Leong Bank menambah 60 sen kepada RM22.10.

Bagi kaunter paling rugi, United Plantations merosot RM1.22 kepada RM32.64, Batu Kawan berkurangan 36 sen kepada RM21.42, Hibiscus Petroleum menurun 25 sen kepada RM1.94 dan Kuala Lumpur Kepong menyusut 22 sen kepada RM21.96.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 148.04 mata kepada 12,263.92, Indeks FBM Emas meningkat 151.68 mata kepada 12,412.93, Indeks FBM Emas Shariah menambah 97.63 mata kepada 12,241.64, Indeks FBM ACE melonjak 137.98 mata kepada 4,422.56 dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 239.48 mata kepada 17,188.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 381.60 mata kepada 19,967.72, Indeks Perladangan merosot 178.25 mata kepada 8,917.41, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.82 mata kepada 183.87 dan Indeks Tenaga merosot 13.44 mata kepada 797.94.  

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.09 bilion unit bernilai RM3.31 bilion daripada 1.79 bilion unit bernilai RM2.44 bilion pada Selasa.  

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.32 bilion unit bernilai RM160.31 juta daripada 526.26 juta unit bernilai RM53.44 juta semalam.  

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 357.92 juta unit bernilai RM161.94 juta daripada 229.79 juta unit bernilai RM84.51 juta sebelum ini.  

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 291.25 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (378.82 juta), pembinaan (214.95 juta), teknologi (241.27 juta), perkhidmatan kewangan (103.16 juta), hartanah (177.52 juta), perladangan (54.68 juta), amanah pelaburan hartanah (18.57 juta), dana tertutup (72,700), tenaga (312.52 juta), penjagaan kesihatan (198.30 juta), telekomunikasi dan media (20.74 juta), pengangkutan dan logistik (35.11 juta), utiliti (45.96 juta) dan amanah perniagaan (35,400).

-- BERNAMA