Perbankan Islam Malaysia Kekal Berdaya Tahan Meski Ketidaktentuan Asia Barat – AIBIM
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Industri perbankan Islam Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh kedudukan modal dan kecairan yang kukuh, meskipun wujud ketidaktentuan di Asia Barat, menurut Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).
AIBIM memaklumkan bahawa walaupun asas ekonomi Malaysia kukuh, ketegangan geopolitik boleh memberi kesan limpahan tidak langsung melalui kenaikan harga tenaga, ketidaktentuan pasaran, serta kemungkinan gangguan terhadap perdagangan dan rantaian bekalan.
“Keadaan ini boleh menjejaskan kos perniagaan, inflasi dan aliran tunai bagi segmen tertentu ekonomi. Industri perbankan Islam kekal berwaspada dan bersedia bertindak balas terhadap risiko yang sentiasa berkembang ini,” menurut kenyataan AIBIM hari ini.
Persatuan itu memaklumkan industri berkenaan terus menjunjung nilai keadilan, ihsan dan tanggungjawab sosial, di samping memperkukuh perantaraan berasaskan nilai (VBI) bagi memastikan hasil yang mampan dan inklusif.
Pada 2024, institusi kewangan Islam telah menyalurkan RM148.6 bilion kepada aktiviti yang sejajar dengan VBI, termasuk sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembiayaan hijau serta inisiatif sosial, sekali gus memperkukuh daya tahan sektor utama ekonomi.
Bagi menyokong usaha tersebut, bank-bank Islam turut memperluas pelaksanaan inisiatif yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia, termasuk penggunaan instrumen perkongsian risiko seperti i-CITA serta program iTEKAD Protection.
AIBIM menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh daya tahan kewangan, khususnya dalam kalangan usahawan mikro, selain menggalakkan hasil kewangan yang lebih mampan melangkaui langkah bantuan jangka pendek.
“Bank-bank Islam bersedia membantu pelanggan yang berdepan cabaran kewangan menerusi penyelesaian yang bertanggungjawab dan patuh syariah, termasuk penstrukturan semula dan penjadualan semula pembayaran, jika bersesuaian.
“Pelanggan digalakkan berhubung lebih awal dengan bank masing-masing,” menurut AIBIM.
AIBIM menegaskan mekanisme sokongan terus tersedia, dan industri akan terus bekerjasama rapat dengan pihak pengawal selia serta pihak berkepentingan bagi memelihara kestabilan kewangan dan menyokong pertumbuhan yang inklusif serta mampan dalam tempoh ketidaktentuan ini.
-- BERNAMA