Kenaikan Kos Bahan Binaan: Kerajaan Digesa Laksana Semula VOP, Pertimbang EOT - PKMM

IPOH, 9 April (Bernama) -- Kerajaan digesa melaksanakan langkah segera termasuk mengaktifkan semula Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi bahan binaan dalam usaha membantu kalangan kontraktor yang kini berdepan beban kenaikan kos susulan krisis tenaga global.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mohd Rosdi Ab. Aziz berkata langkah itu yang pernah dilaksanakan ketika krisis sebelum ini termasuk pandemik COVID-19 terbukti membantu kontraktor menangani peningkatan kos.

"VOP ini merupakan satu (mekanisme) yang adil kerana ketika bahan binaan kos meningkat, kerajaan menyesuaikan harga dan apabila harga bahan binaan jatuh, kerajaan boleh mengurangkan harga tersebut.

“Ketika ini, harga diesel meningkat sehingga 100 peratus daripada harga asas, bererti kenaikan harga atau kos bahan pembinaan akan naik sehingga 40 hingga 50 peratus, satu kenaikan yang terlalu drastik dan  tidak mampu untuk ditanggung oleh kontraktor berbanding harga asal yang ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri PKMM 2026 di sini hari ini.

Mohd Rosdi turut mencadangkan kerajaan tidak mengambil tindakan atau penamatan kontrak kepada kontraktor yang lewat menyiapkan projek akibat kenaikan kos.

Selain itu, kerajaan juga perlu mempertimbangkan pelaksanaan lanjutan masa (EOT) segera berdasarkan situasi semasa, di samping memperkenalkan moratorium jangka panjang seperti yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 bagi memastikan aliran tunai dan projek yang sedang berjalan tidak terjejas. 

Beliau berkata setakat ini kira-kira 4,000 kontraktor di bawah PKMM terkesan namun masih meneruskan projek pada kadar lebih perlahan.

Bagaimanapun, jika situasi berterusan tanpa tindakan segera daripada kerajaan, kelewatan projek dijangka meningkat dan berpotensi menyebabkan lebih banyak projek tertangguh atau berisiko disenaraikan sebagai projek sakit.

Mohd Rosdi berkata pihaknya telah dipanggil kerajaan termasuk Kementerian Kerja Raya dan mengemukakan beberapa cadangan bagi membantu kontraktor untuk terus bertahan dalam keadaan semasa.

“Sebulan telah berlalu, (namun) masih belum ada tindakan. Kami berharap kerajaan bertindak segera supaya masalah ini tidak menjadi lebih parah. Jika bertindak sekarang, keadaan masih boleh diselamatkan,” katanya.

-- BERNAMA