Kekal Positif, Sektor Pembuatan Malaysia Diunjur Tumbuh 4.1 Peratus -- RHB Investment

KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran positif terhadap sektor pembuatan Malaysia yang dijangka mencatat pertumbuhan 4.1 peratus pada 2026.

Menerusi nota tinjauannya, bank pelaburan itu menyatakan prospek berkenaan mengambil kira faktor seperti perkembangan persekitaran luaran, terutama ketegangan di Asia Barat serta potensi perubahan dasar tarif Amerika Syarikat.

Menurutnya, di sebalik kejutan luaran itu, sektor pembuatan terus mendapat sokongan kestabilan permintaan domestik, pertumbuhan pendapatan serta langkah-langkah dasar berkaitan.

“Asas-asas sedemikian serta kekuatan berterusan sektor elektrik dan elektronik (E&E) hanya menyokong unjuran Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) dalaman kami sebanyak 4.1 peratus bagi 2026 atau naik daripada 3.6 peratus pada 2025,” menurutnya.

IPP berkenaan mengembang 4.5 peratus dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini (Januari-Februari 25: 1.8 per cent).

Secara domestik, RHB Investment menyatakan daya tahan penggunaan swasta dan pelaburan dijangka terus menyokong aktiviti perindustrian, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan keadaan pasaran guna tenaga yang sihat.

Pada masa sama, dasar-dasar yang menggalakkan pengeluaran tempatan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana, juga berkemungkinan terus mengukuhkan rantaian bekalan domestik.

Selain itu, insentif bersasar untuk sektor berimpak tinggi seperti farmaseutikal, semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan kelestarian dijangka terus meningkatkan nilai tambah pembuatan serta menyokong penambahbaikan berkaitan teknologi.

Menurut RHB Investment, industri berorientasikan eksport pula dijangka meraih manfaat daripada prospek permintaan luaran yang menggalakkan, disokong oleh peningkatan aktiviti global dan permintaan E&E yang kukuh.

“Kitaran peningkatan teknologi global berterusan juga dijangka mengukuhkan kluster E&E, didorong oleh pengembangan teknologi, pendigitalan dan penerimagunaan AI yang ketara,” menurutnya.

Bank pelaburan itu turut memaklumkan usahanya yang terus memantau rapat impak ketegangan geopolitik ke atas perdagangan dan harga minyak selain potensi kesannya terhadap sektor pembuatan Malaysia.

Kaedah atau model yang digunakan RHB Investment menunjukkan peningkatan satu peratus harga minyak adalah berkaitan dengan kelembapan jangka pendek sekitar 0.02 mata peratusan dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku ke suku yang membayangkan impak tahunan kira-kira 0.05 mata peratusan bagi setiap peningkatan 10 peratus harga minyak.

Kenaikan harga minyak secara sederhana boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dengan melonjakkan kos pengeluaran dan sebahagiannya diimbangi oleh pengukuhan perdagangan dalam sektor minyak dan gas.

“Harga pengeluar Malaysia sensitif terhadap (sebarang) pergerakan harga minyak global yang mencerminkan tindak balas jangka pendek yang sederhana serta kesan jangka panjang yang lebih ketara.

“Dalam jangka pendek misalnya, kenaikan satu peratus harga minyak mentah Brent boleh meningkatkan IPP sekitar 0.03 peratus bagi bulan ke bulan dan memaparkan sebahagian pelepasan kepada kos pengeluaran domestik,” menurutnya.

Bagi jangka panjang, RHB Investment menyatakan sebarang kenaikan berterusan sebanyak satu peratus bagi Brent akan menyumbang kepada kira-kira 0.20 peratus dalam IPP berikutan tekanan kos tenaga berpanjangan yang menular ke seluruh rantaian bekalan serta meningkatkan kos pengeluaran secara menyeluruh.

-- BERNAMA