Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Pelabur Nilai Semula Situasi Gencatan Senjata AS-Iran
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Khamis susulan bursa serantau mencatat prestasi lemah.
Reaksi positif pasaran yang didorong oleh pengumuman gencatan senjata semalam tidak berlarutan berikutan pelabur mula menilai semula sama ada gencatan senjata itu adalah sesuatu yang meyakinkan dan akan bertahan lama.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.07 mata kepada 1,686.24 daripada 1,696.31 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka rendah 3.66 mata kepada 1,692.65 bergerak antara 1,680.01 dan 1,692.65 pada sepanjang hari.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 651 berbanding 430 manakala 540 kaunter tidak berubah, 1,087 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan susut kepada 3.05 bilion unit bernilai RM2.83 bilion daripada 3.77 bilion unit bernilai RM3.64 bilion pada Rabu.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran tempatan kembali berwaspada apabila terdapat isyarat awal bahawa gencatan senjata di kawasan Teluk sedang mengalami ketegangan.
Beliau berkata FBM KLCI menyusut hampir ke paras sokongan penting 1,680 manakala tekanan jualan yang ketara berlaku di seluruh pasaran.
“Walaupun indeks itu berjaya kekal melepasi paras sokongan penting buat masa ini, keyakinan membeli yang berkurangan dan ketidakpastian luaran yang berterusan menunjukkan potensi kenaikan pasaran adalah terhad.
"Sementara itu, kami menjangka ketidakstabilan pasaran akan kekal meningkat memandangkan pelabur memantau perkembangan di Asia Barat dan pergerakan harga minyak mentah dengan teliti," kata Thong.
Dengan ketiadaan pemangkin positif yang jelas, beliau menjangka FBM KLCI kekal dalam jajaran kecil disertai dengan sentimen berhati-hati dalam masa terdekat.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kedudukan pasaran lebih berhati-hati hari ini dengan saham perbankan menerajui penyusutan.
Katanya keadaan ini menunjukkan bahawa pelabur mula menyedari kesan makroekonomi konflik Asia Barat terutama melalui inflasi dan pertumbuhan.
“Berikutan harga minyak masih kekal melebihi US$90 setong dan krisis ini telah memasuki minggu keenam, kesan pusingan kedua mula dirasakan,” katanya kepada Bernama.
Bursa Malaysia bergerak seiring dengan kebanyakan bursa serantau.
Indeks Nikkei 225 Jepun susut 0.73 peratus kepada 55,895.32, KOSPI Korea Selatan menyusut 1.61 peratus kepada 5,778.01, Indeks Straits Times Singapura naik 0.31 peratus kepada 4,980.56 dan Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.54 peratus kepada 25,752.40.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi Bursa Malaysia, Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM14.12, IHH Healthcare menambah dua sen kepada RM8.83, Petronas Chemicals melonjak 23 sen kepada RM5.82, Maybank susut 16 sen kepada RM11.16, Public Bank menyusut 10 sen kepada RM4.60 dan CIMB turun 11 sen kepada RM7.45.
Bagi saham paling aktif, Bumi Armada meningkat dua sen kepada 37.5 sen, Top Glove menokok 5.5 sen kepada 79 sen, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen dan Zetrix AI susut satu sen kepada 75 sen.
Antara saham paling untung menyaksikan United Plantations mengukuh 42 sen kepada RM33.06, Kuala Lumpur Kepong melonjak 24 sen kepada RM22.20, Apollo Food meningkat 23 sen kepada RM5.94 dan Petronas Gas naik 22 sen kepada RM18.20.
Bagi saham paling rugi, Nestle susut 90 sen kepada RM100.10, Petronas Dagangan rendah 58 sen kepada RM21.40, Ayer Holdings berkurangan 35 sen kepada RM7.00, dan PPB susut 34 sen kepada RM11.86.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 rendah 53.36 mata kepada 12,210.56, Indeks FBM Emas susut 54.05 mata kepada 12,358.88, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 16.50 mata kepada 12,258.14, Indeks FBM ACE menambah 47.72 mata kepada 4,374.84 dan Indeks FBM Mid 70 naik 9.62 mata kepada 17,198.35.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 290.45 mata kepada 19,677.27, Indeks Perladangan meningkat 72.68 mata kepada 8,990.10, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.61 mata kepada 184.48, dan Indeks Tenaga melonjak 15.80 mata kepada 813.74.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.92 bilion unit bernilai RM2.63 bilion berbanding 2.09 bilion unit bernilai RM3.31 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 951.29 juta unit bernilai RM110.58 juta berbanding 1.32 bilion unit bernilai RM160.31 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 272.38 juta unit bernilai RM93.33 juta daripada 357.92 juta unit bernilai RM161.94 juta sebelumnya.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 182.92 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (465.83 juta), pembinaan (168.65 juta), teknologi (158.09 juta), perkhidmatan kewangan (79.01 juta), hartanah (148.63 juta), perladangan (67.44 juta), amanah pelaburan hartanah (14.75 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (311.81 juta), penjagaan kesihatan (233.95 juta), telekomunikasi dan media (28.23 juta), pengangkutan dan logistik (35.20 juta), utiliti (34.01 juta), dan amanah perniagaan (35,500).
-- BERNAMA