BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Kadar Pengangguran Kekal 2.9 Peratus Pada Februari 2026 - DOSM

PUTRAJAYA, 10 April (Bernama) -- Kadar pengangguran pada Februari 2026 kekal 2.9 peratus, mencatat bilangan penganggur yang lebih rendah, iaitu 506,800 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan ekonomi Malaysia pada Februari 2026 juga kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik yang stabil serta pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan dan aktiviti berkaitan pelaburan.

“Kedudukan ekonomi ini turut dicerminkan oleh pasaran buruh yang kekal stabil, di samping memperlihatkan isyarat awal berlakunya penyesuaian struktur secara beransur-ansur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, katanya, tenaga buruh pada bulan berkenaan terus mencatat peningkatan, naik 0.1 peratus kepada 17.30 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Januari 2026: 17.28 juta orang), manakala kadar penyertaan tenaga buruh Februari kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah daripada bulan sebelumnya.

Berhubung bilangan penduduk bekerja pada bulan berkenaan, Mohd Uzir berkata trend peningkatan merekodkan sedikit pertambahan 0.1 peratus kepada 16.79 juta orang berbanding 16.77 juta orang pada Januari 2026.

“Pada masa yang sama, bilangan penganggur menurun 0.6 peratus kepada 506,800 orang berbanding 509,600 orang pada Januari 2026. Kadar pengangguran pada Februari 2026 kekal 2.9 peratus, seperti bulan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah bilangan penduduk bekerja, meningkat 0.1 peratus kepada 12.59 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

“Di samping itu, bilangan penduduk bekerja sendiri meningkat 0.3 peratus kepada 3.13 juta orang berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan berada dalam trend peningkatan pada Februari 2026, dengan aktiviti perdagangan borong dan runcit kekal sebagai penyumbang utama, diikuti aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman serta maklumat dan komunikasi.

Beliau berkata guna tenaga dalam sektor pertanian, pembuatan dan pembinaan turut merekodkan pertambahan, manakala sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat penurunan.

-- BERNAMA