Minat Belian Dorong Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini, disokong oleh minat belian sebagai aset selamat ke atas logam bernilai itu walaupun pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS) menjadi lemah.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta April 2026 meningkat kepada US$4,768.20 setiap auns troy daripada US$4,755.00 setiap auns troy, manakala Mei 2026 bertambah kepada US$4,788.70 setiap auns troy daripada US$4,772.40 setiap auns troy ketika ditutup Khamis.

Kontrak Jun, Julai dan Ogos 2026 turut ditutup lebih tinggi kepada US$4,807.30 setiap auns troy daripada US$4,790.90 setiap auns troy sebelumnya.

Jumlah dagangan turut meningkat kepada 29 lot daripada 13 lot semalam, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 95 kontrak daripada 72 kontrak sebelumnya.

Harga emas fizikal berada pada US$4,762.60 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 9 April, 2026.

-- BERNAMA