BERITA TERKINI   329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina bukan dari Malaysia - MTEN | Liga Super: Imigresen FC 0-0 Penang FC | Liga Super: Selangor FC 1-1 Sabah FC | 

Syor ADB Mengenai Kemudahan US$30 Bilion Antara Hasil Mesyuarat AFMGM Ke-13 -- MOF

PUTRAJAYA, 11 April (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-13 (AFMGM) menyambut baik cadangan Bank Pembangunan Asia (ADB) mengenai kemudahan bernilai US$30 bilion (RM141 bilion) bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk menyokong pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan dan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi kenyataannya memaklumkan, mesyuarat berkenaan turut menyentuh mengenai penubuhan semula Pengaturan Swap ASEAN dalam memperkukuh jaringan keselamatan kewangan serantau.

“Bagi memajukan lagi kewangan mampan, Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN turut mengambil maklum mengenai kemajuan Taksonomi ASEAN bagi Kewangan Mampan serta saluran projek yang kukuh di bawah Pemangkin Kemudahan Kewangan Hijau ASEAN (ACGF) yang melibatkan projek bernilai US$19.4 bilion (RM91.2 bilion) bagi tempoh 2026 hingga 2028.

“Pelancaran Dana Keterhubungan Serantau (RCF) bagi Tenaga pada 7 April, 2026, juga dialu-alukan sebagai langkah penting ke arah memperkukuh keterjaminan tenaga dan menyokong Grid Kuasa ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ASEAN telah menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Asia Barat dan impaknya ke atas perdagangan global, tenaga serta risiko seperti tarif, perpecaham geoekonomi dan kerentanan hutang.

Beliau berkata Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh integrasi kewangan dan kerjasama serantau dalam melindungi kestabilan makroekonomi serta daya tahan ASEAN.

“Sejajar dengan kejutan global pada masa ini, pendirian ASEAN harus kekal pragmatik dan stabil. Walaupun kita (Malaysia) mempunyai kawalan terhad terhadap turun naik di peringkat luaran, kita boleh memperkukuh asas dalaman melalui integrasi yang lebih mendalam, penyelarasan dasar dipertingkat, kredibiliti makroekonomi berterusan serta pengukuhan keyakinan terhadap ASEAN sebagai rantau pelaburan dan pertumbuhan,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat secara maya pada 10 April lepas yang turut disertai Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour manakala Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan (Dasar) Datuk Zamzuri Abdul Aziz mengetuai delegasi Malaysia bagi mesyuarat peringkat pegawai kanan dan mesyuarat berkaitan sebelum berlangsung AFMGM.

Sesi AFMGM ke-13 yang dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Jabatan Kewangan Filipina Frederick D. Go dan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas Eli M. Remolona Jr, diakhiri dengan Kenyataan Bersama yang menegaskan semula komitmen ASEAN dalam aspek mengekalkan kestabilan makroekonomi dan kewangan, mempercepat transformasi digital serta mempromosikan pertumbuhan mampan dan inklusif.

Mesyuarat itu turut meluluskan keutamaan di bawah tema Kepengerusian Filipina 2026 “Navigating Our Future, Together,” (Mengemudi Masa Depan Kita, Bersama), termasuk usaha memajukan pasaran modal ASEAN mampan serta berdaya tahan, memperkukuh ketersambungan pembayaran serantau serta menggalakkan kesejahteraan kewangan melalui pembangunan rangka kerja serantau.

Pada masa sama, AFMGM dan mesyuarat berkaitan turut mendapat manfaat susulan libat urus berterusan dengan rakan luar utama serta institusi kewangan antarabangsa, termasuk Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Perbendaharaan Australia, Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN, Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN, Majlis Perniagaan United Kingdom-ASEAN dan TheCityUK serta Bank Pembangunan Asia (ADB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia.

Penglibatan itu telah menyumbang kepada pertukaran pandangan mengenai perkembangan ekonomi serantau dan global, menurut MOF.

-- BERNAMA