BERITA TERKINI   Sumbangan Keperluan Asas Sarawak libatkan isi rumah, warga emas dan individu bujang naik antara RM75 hingga RM150 - Premier Sarawak | Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor libat peruntukan RM130.42 juta daripada kerajaan negeri, agensi - MB | Selangor lancar Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Jun ini, langkah segera hadapi krisis tenaga global - MB  | 83 projek Bekalan Air Luar Bandar bernilai RM4.06 bilion diserah kuasa pelaksanaannya kepada kerajaan negeri Sabah - Ahmad Zahid | Sebanyak 299 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial - Fahmi | 

Malaysia Catat 3.36 Juta Ancaman Siber Berasaskan Web Pada 2025 - Kaspersky

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Malaysia mencatat sebanyak 3.36 juta ancaman siber berasaskan web pada tahun lalu, manakala rantau Asia Tenggara merekodkan lebih 18 juta cubaan serangan berniat jahat sepanjang 2025.

Ancaman berasaskan web tersebut merangkumi laman sesawang yang telah dikompromi, muat turun berbahaya serta pelbagai vektor serangan dalam talian yang berpotensi menyebabkan akses sistem tanpa kebenaran dan kebocoran data, menurut Kaspersky.

Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik, Adrian Hia, berkata Vietnam mencatat jumlah ancaman siber berasaskan web tertinggi di rantau ini dengan 8.44 juta kes pengesanan, diikuti Indonesia sebanyak 3.01 juta kes. Thailand dan Singapura turut merekodkan lebih satu juta serangan siber berasaskan web pada 2025.

“Walaupun jumlah ancaman web yang dikesan dan disekat terhadap pengguna perniagaan di Asia Tenggara menunjukkan penurunan, kami melihat peningkatan serangan yang menyasarkan organisasi di Singapura dan Vietnam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dasar serta amalan keselamatan siber dalam persekitaran korporat semakin baik dari tahun ke tahun, dengan lebih banyak organisasi memperkukuh pertahanan terhadap ancaman siber.

Menurutnya, tahap pengesanan ini turut mencerminkan keluasan penglibatan digital dalam aktiviti ekonomi dan sosial di rantau berkenaan.

Berdasarkan Forum Ekonomi Dunia, ekonomi digital Asia Tenggara kini bernilai sekitar US$300 bilion dan dijangka berkembang kepada US$1 trilion menjelang 2030.

-- BERNAMA