BERITA TERKINI   Keselamatan tenaga bukan lagi satu pilihan. Ia menjadi keutamaan strategik negara susulan situasi di Selat Hormuz - Fadillah Yusof | 

Niaga Hadapan MSM Mengukuh Seiring Harga Minyak Mentah

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Isnin, menjejaki pengukuhan harga minyak mentah susulan konflik berterusan di Asia Barat, kata seorang peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng, berkata kenaikan harga minyak mentah terus menyokong pasaran kerana secara tidak langsung mendorong peningkatan harga minyak sawit.

“Kenaikan harga minyak mentah telah mengangkat harga minyak sawit memandangkan komoditi itu digunakan secara meluas sebagai bahan mentah biofuel,” katanya kepada Bernama.

Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 7.45 peratus kepada US$102.30 setong.

Ng berkata sentimen pasaran turut disokong oleh kenaikan harga minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT).

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,500 setan dan paras rintangan pada RM4,680 setan,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak April susut RM41 kepada RM4,450 setan, kontrak Mei 2026 meningkat RM11 kepada RM4,511 setan, manakala kontrak Jun 2026 naik RM17 kepada RM4,555 setan.

Kontrak Julai 2026 menokok RM21 kepada RM4,572 setan, kontrak Ogos 2026 meningkat RM27 kepada RM4,566 setan, manakala kontrak September 2026 mengukuh RM29 kepada RM4,549 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 66,741 lot berbanding 66,606 lot pada Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka susut kepada 256,371 kontrak daripada 258,033 kontrak.

Harga fizikal MSM bagi April Selatan kekal tidak berubah pada RM4,580 setan.

-- BERNAMA