BERITA TERKINI   Kerajaan sedang mengkaji semula pelaksanaan cukai karbon Malaysia disebabkan situasi geopolitik semasa - NRES | PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | 

Laporan MIGHT Papar Tenaga Nuklear Sebagai Kunci Keterjaminan Tenaga Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Tenaga nuklear kini semakin berpotensi sebagai sumber tenaga yang stabil dan rendah karbon seterusnya melengkapkan tenaga boleh baharu serta mengukuhkan keterjaminan tenaga.

Ini berikutan lebih 70 peratus elektrik masih dijana dengan menggunakan bahan api fosil manakala sasaran penamatan penggunaan arang batu ditetapkan pada 2044.

Perkara tersebut dinyatakan dalam laporan mengenai pandangan strategik baharu oleh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) bertajuk “Future Scenarios: The Role of Nuclear Power in Malaysia’s Energy Landscape”, yang menyediakan analisis untuk menyokong dasar dan perancangan bagi peralihan tenaga jangka masa panjang negara.

Dalam kenyataan hari ini, MIGHT menjelaskan laporan tersebut menawarkan pandangan jauh sebagai panduan dasar, memperkukuh kesiapsiagaan dan menyokong dialog nasional yang bermaklumat ketika Malaysia menghadapi peningkatan permintaan elektrik, matlamat penyahkarbonan dan keperluan terhadap kuasa beban asas yang terjamin.

“Laporan ini menekankan penggunaan nuklear merupakan komitmen jangka panjang yang memerlukan tadbir urus kukuh, pembiayaan, pembangunan tenaga kerja serta penglibatan awam,” tambahnya.

Menurut MIGHT penerbitan laporan itu selari dengan penekanan terkini kerajaan terhadap penilaian tenaga nuklear sebagai sebahagian perancangan keterjaminan tenaga jangka masa panjang.

“Keperluan ini diperkukuh oleh ketegangan geopolitik global dan kerentanan rantaian bekalan, sekali gus menekankan kepentingan strategik dalam mempelbagaikan portfolio tenaga Malaysia dengan sumber tenaga asli yang boleh dipercayai,” jelasnya.

Ringkasnya, MIGHT menyatakan laporan tersebut menekankan tenaga nuklear sebagai satu usaha nasional yang besar dan memerlukan ekosistem yang kukuh serta sedia masa hadapan.

“Laporan itu menunjukkkan kejayaan bergantung kepada perkara asas iaitu tadbir urus dan rangka kerja kawal selia yang cekap, model pembiayaan mampan, pembangunan tenaga kerja khusus serta keyakinan awam yang berterusan,” tambahnya.

Menurut MIGHT laporan itu turut menyediakan pandangan yang boleh dilaksanakan, termasuk lima pemacu utama penggunaan tenaga nuklear merangkumi dasar, pembiayaan, kepercayaan awam, tenaga kerja dan keterjaminan tenaga.

Selain itu, laporan tersebut juga menggariskan 10 keutamaan bagi peralihan Malaysia ke arah pelepasan sifar bersih dijana tenaga nuklear, serta 10 ketidakpastian dan risiko penting yang boleh menjejaskan kemajuan jika gagal ditangani.

Selain itu, laporan tersebut mengetengahkan empat senario kemungkinan menjelang 2035 merangkumi pembaharuan tenaga atom dan momentum boleh diukur serta potensi pegun serta impak serius daripada nuklear.

“Analisis berpandangan jauh ini menjadi rujukan penting bagi penggubal dasar dan pemimpin industri, dengan menyediakan rangka kerja yang seimbang dan berasaskan bukti bagi menjadi asas dalam membuat keputusan tenaga yang paling signifikan demi masa depan negara yang mampan dan terjamin,” tambahnya.

Laporan penuh itu akan dipaparkan dalam laman sesawang MIGHT.

-- BERNAMA