MyCEB Promosi Malaysia Di The Meetings Show APAC 2026

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) akan menyertai The Meetings Show Asia Pacific (TMS APAC) 2026 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands di Singapura sebagai sebahagian daripada usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi acara perniagaan terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Acara yang berlangsung dari 14 hingga 15 April itu dijangka menarik lebih 290 pempamer global, sekitar 1,800 peserta dan kira-kira 600 pembeli yang layak dengan perwakilan dari lebih 70 negara, menurut kenyataan dikeluarkan MyCEB, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Tan Mei Phing berkata penyertaan agensi itu mencerminkan komitmen kukuh negara untuk memperkukuh jejak globalnya dalam industri acara perniagaan.

“Platform seperti ini membolehkan kita berinteraksi secara bermakna dengan pembeli antarabangsa, mempamerkan tempat dan layanan mesra bertaraf dunia Malaysia dan menunjukkan keupayaan Malaysia untuk menganjurkan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran yang berimpak tinggi.

“Menerusi libat urus strategik bersama pihak berkepentingan industri, kami berhasrat untuk memupuk perkongsian baharu dan menjana petunjuk bernilai tinggi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan mampan sektor acara perniagaan Malaysia, di samping memperkukuh kedudukan kami sebagai destinasi pilihan di rantau Asia Pasifik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut MyCEB, TMS APAC 2026 akan menghimpunkan perancang mesyuarat antarabangsa, wakil persatuan, pembeli korporat dan penganjur pameran, menyediakan pasaran strategik untuk rangkaian dan kerjasama.

Penyertaan dalam acara berkenaan menawarkan Malaysia platform berharga untuk berinteraksi secara langsung dengan pembuat keputusan utama di seluruh rantau Asia Pasifik, pada masa sama mempamerkan infrastruktur konvensyen dan pameran negara, tawaran destinasi dan keupayaan industri.

Dalam pada itu, delegasi Malaysia akan menampilkan inisiatif libat urus interaktif yang direka untuk menarik pembeli dan memupuk hubungan bermakna dengan pihak berkepentingan industri global.

“Sebagai sebahagian daripada strategi libat urus, MyCEB memudahkan sesi pemadanan perniagaan bersasar dan libat urus rangkaian untuk menjana peluang baharu dan prospek acara,” menurut agensi itu.

MyCEB memaklumkan antara rakan industri Malaysia menyertai MyCEB ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Marriott International Malaysia, Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang dan Shangri-La Kuala Lumpur.

Melalui kehadirannya di TMS APAC 2026, MyCEB berhasrat untuk memperkukuh kedudukan negara dalam ekosistem acara perniagaan global, menonjolkan infrastruktur bertaraf dunia, lokasi geografi strategik dan cadangan nilai komprehensif sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara.

“MyCEB terus memperkukuh kehadiran antarabangsa Malaysia dan memajukan perkongsian strategik yang menyokong pembangunan jangka panjang dan daya saing industri acara perniagaan negara,” menurut kenyatan itu.

-- BERNAMA