Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Di Sebalik Harapan Ketegangan Asia Barat Akan Reda
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Rabu, menjejaki peningkatan dalam pasaran serantau dalam persekitaran optimisme mengenai ketegangan di Asia Barat berpotensi akan reda.
Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.13 mata kepada 1,694.25 daripada 1,688.12 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 33,30 mata lebih tinggi kepada 1,691.42.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 309 berbanding 155, manakala 270 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,995 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan pada 462.21 juta unit bernilai RM187.96 juta.
Rakuten Trade Sdn Bhd berkata pasaran disokong oleh jangkaan bahawa ketegangan akan reda di Asia Barat dengan Amerika Syarikat (AS) dan Iran berpotensi menyambung semula rundingan.
“Pedagang optimis bahawa perjanjian antara AS dan Iran masih dalam perancangan. Oleh itu, minyak mentah Brent merosot ke bawah paras AS$95 setong.
“Di peringkat tempatan, prestasi positif FBM KLCI disebabkan oleh sentimen serantau lebih baik di tengah-tengah aktiviti belian semasa harga rendah. Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berada dalam julat 1,685-1,700,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 12 sen kepada RM11.16, Public Bank naik dua sen kepada RM4.66, CIMB meningkat lima sen kepada RM7.60, manakala Tenaga Nasional dan IHH susut empat sen masing-masing kepada RM14.28 dan RM8.71.
Bagi saham paling aktif, 5E Resources yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, naik 1.5 sen kepada 27.5 sen, MMAG tidak berubah pada empat sen, TWL berkurangan setengah sen kepada dua sen, manakala AirAsia X menokok tiga sen kepada RM1.22 dan Zetrix melonjak 0.5 sen kepada 77.5 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.12 kepada RM31.76, Dutch Lady menambah 46 sen kepada RM32.26, Allianz Malaysia naik 20 sen kepada RM20.82, SAM Engineering meningkat 19 sen kepada RM3.51 dan Hong Leong Bank menokok 18 sen kepada RM21.98.
Selain Tenaga Nasional, antara kaunter paling rugi ialah Petronas Chemicals berkurangan 14 sen kepada RM5.76, Nestle merosot 12 sen kepada RM98.92, Gas Malaysia menguncup 10 sen kepada RM5.50 dan APM Automotive susut lapan sen kepada RM3.07.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 46.98 mata kepada 12,298.87, Indeks FBM Emas meningkat 49.10 mata kepada 12,455.35, Indeks FBM Mid 70 menambah 77.48 mata kepada 17,453.74, Indeks FBM Emas Syariah melonjak 25.43 mata kepada 12,338.02 dan Indeks FBM ACE menokok 32.70 mata kepada 4,500.41.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 149.21 mata kepada 19,822.08, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.65 mata kepada 187.0, Indeks Perladangan susut 34.88 mata kepada 8,905.90, manakala Indeks Tenaga merosot 4.18 mata kepada 819.35.
-- BERNAMA