UMSKAL Lancar Sudut ISRA Bagi Memacu Ekosistem Industri Di Kampus Dalam Kewangan Islam
Oleh JAILANI HASAN
LABUAN, 16 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) melalui Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) melancarkan Sudut ISRA yang merupakan satu langkah strategik ke arah mewujudkan ekosistem Industri di Kampus (IoC) untuk kewangan Islam di Labuan.
Dekan FKAL Profesor Madya Dr Geoffrey Harvey Tanakinjal berkata Sudut ISRA yang dilancarkan pada Rabu berfungsi sebagai model mikro IoC, menggabungkan industri, akademik dan institusi penyelidikan dalam kampus untuk membolehkan pembelajaran masa nyata, penyelidikan kolaboratif dan pembangunan bakat.
Inisiatif itu merupakan kerjasama dengan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) dan Universiti INCEIF, dengan sokongan CIMB Islamic, serta menawarkan bahan bacaan terkurasi, sumber digital dan akses kepada platform seperti I-FIKR.
Pengarah UMSKAL Prof Dr Shamsul Bahari Shamsudin berkata kerjasama itu juga akan mengukuhkan hubungan antara akademik dan industri, meningkatkan inovasi kurikulum, kolaborasi penyelidikan dan kebolehpasaran graduan, sekali gus meletakkan UMSKAL sebagai pemain utama dalam pendidikan kewangan Islam di rantau Borneo.
Daripada perspektif dasar, Sudut ISRA mewakili model berimpak tinggi dan kos rendah yang selaras dengan rangka kerja IoC Kementerian Pendidikan Tinggi.
Dengan pelaburan yang sederhana, ia dijangka memberikan pulangan yang kukuh melalui pembangunan modal insan, pengurangan ketidakpadanan kemahiran, integrasi industri–akademik, peningkatan hasil penyelidikan dan kesan limpahan daripada ekonomi serantau.
Inisiatif itu juga dilihat dapat memperkukuh saluran bakat di Labuan untuk Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), di samping memantapkan daya saing pulau tersebut sebagai hab kewangan antarabangsa.
Majlis pelancaran Sudut ISRA itu turut menampilkan bicara eksekutif berhubung isu dan cabaran semasa dalam kewangan Islam oleh Prof. Madya Dr Maya Puspa Rahman daripada INCEIF dan Ken Kamal daripada CIMB, yang berbincang mengenai trend baharu, perkembangan kawal selia dan landskap global yang sedang berkembang.
Pada masa hadapan, sudut itu dijangka berkembang menjadi platform IoC yang komprehensif dengan menggabungkan pembelajaran interaktif, penyelidikan gunaan dan latihan berteraskan industri, sekali gus menyokong agenda Malaysia yang lebih luas dalam memajukan pendidikan dan integrasi kewangan Islam.
Merasmikan majlis pelancaran itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman menyifatkan inisiatif berkenaan bukan sekadar ruang fizikal, sebaliknya memainkan peranan sebagai platform dinamik untuk perkongsian ilmu, pembangunan penyelidikan dan libat urus industri demi memperkukuh kedudukan Labuan sebagai hab kewangan Islam serantau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Universiti INCEIF Raja Mohamad Shahadan Raja Mohamed berkata kedudukan global universiti tersebut yang diiktiraf nombor satu untuk pendidikan kewangan Islam oleh Salaam Gateway pada 2026 serta mendapat akreditasi AACSB—menekankan kepentingan yang mengintegrasikan kecemerlangan akademik dengan pembelajaran berteraskan industri dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global.
CIMB Islamic Bank, selaku rakan strategik dan penaja utama menyumbang kira-kira RM70,000 untuk penubuhan Sudut ISRA itu.
Ketua Serantau Kewangan Sosial dan Inisiatif Korporatnya Ken Kamal berkata kerjasama itu bertujuan merapatkan jurang antara teori akademik dengan aplikasi dunia nyata, bagi memastikan graduan dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dengan industri.
-- BERNAMA