BERITA TERKINI   Gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud landa luar pesisir timur laut dan utara Jepun pada Isnin, amaran tsunami dikeluarkan, lapor media | Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud gegar timur laut dan utara Jepun - laporan | Kerajaan pertimbang pengecualian duti import dan cukai jualan bagi pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang terjejas akibat konflik Asia Barat sehingga 31 Dis, 2026 - PM Anwar | PM Anwar umum tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Dis, 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan RM1 juta-RM5 juta | PM Anwar umum jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah SJPP untuk sokong PMKS yang terjejas ekoran konflik Asia Barat | 

Industri Pembuatan Plastik Malaysia Terus Alami Ketidaktentuan Susulan Krisis Asia Barat - MPMA

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 17 April  (Bernama) -- Industri pembuatan plastik negara dijangka terus mengalami ketidaktentuan dalam jangka masa pendek hingga sederhana berikutan krisis di Asia Barat, menurut Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA).

Presidennya Cheah Chee Chon berkata kenaikan harga minyak yang berterusan, ditambah pula dengan gangguan bekalan, dijangka mengekang output bertapis untuk bahan perantara utama seperti aromatik dan prekursor kimia yang lain.

"Ini akan mengurangkan ketersediaan bahan mentah bagi pengeluaran resin, sekali gus memburukkan lagi kekurangan bekalan dan tekanan kos yang sedia ada.

"Kesannya, pengilang plastik berkemungkinan besar akan menghadapi kelewatan pengeluaran yang berterusan dan margin keuntungan pula mengecil," katanya kepada Bernama.

Cheah berkata walaupun konflik tersebut kelihatan mereda, pemulihan tidak akan berlaku serta-merta kerana usaha membina semula infrastruktur penting, seperti pusat penapisan, penyaluran dan kemudahan pelabuhan, serta menstabilkan semula pengeluaran, akan memakan masa.

Sehubungan itu, beliau berkata kesan daripada industri plastik yang terjejas turut meliputi sektor-sektor kritikal, termasuk pembungkusan makanan dan minuman, farmaseutikal, serta elektrik dan elektronik (E&E).

"Gangguan ini berkemungkinan besar mengakibatkan kekurangan barangan keperluan, kenaikan kos dan tekanan inflasi hiliran, yang akhirnya menjejaskan kos sara hidup secara keseluruhan," katanya.

Cheah menegaskan harga bahan mentah khususnya resin, telah meningkat daripada kira-kira US$800–US$900 (US$1=RM3.95) setan kepada lebih US$1,500 setan, dengan surcaj tambahan daripada pembekal mencecah sehingga US$250 setan.

Beberapa gred resin tertentu telah melebihi US$2,000 setan, meningkat lebih daripada 100 peratus, tambah beliau.

"Di peringkat global, konflik di Asia Barat telah mengganggu aliran minyak mentah dan bahan mentah petrokimia yang melalui Selat Hormuz, sekali gus menyekat bekalan huluan untuk pengeluaran resin.

 "Di Malaysia, dua pengeluar utama sedang menghadapi kekangan yang teruk; Lotte Chemical Titan Holding Bhd telah mengeluarkan notis potensi force majeure yang menjejaskan keupayaan bekalannya, manakala Petronas Chemicals Group Bhd sedang menjalani penyelenggaraan utama di kemudahan Kerteh di samping cabaran operasi di Pengerang.

"Akibatnya, bekalan resin yang diimport dan juga yang dihasilkan secara tempatan pada masa ini sangat terhad," katanya.

Sementara itu, MBSB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya memaklumkan krisis di Asia Barat turut menjejaskan komponen-komponen yang tidak kelihatan dalam industri farmaseutikal seperti aluminium dan plastik.

Menurutnya, kira-kira 9.0 peratus aluminium global berasal dari Timur Tengah; sehubungan itu, kekurangan kedua-dua unsur berkenaan boleh menjejaskan pengeluaran pek lepuh yang menyimpan kebanyakan ubat generik.

Selain itu, botol ubat juga sering diperbuat daripada polipropilena #5, yang mana bahan mentahnya berasal daripada propana atau nafta, iaitu produk sampingan penapisan petroleum dan pengeluaran gas asli.

"Proses pensterilan pembungkusan, yang menggunakan gas petrokimia juga berkait rapat dengan minyak mentah.

"Dengan pengeluaran dan pengedaran minyak serta gas yang terjejas akibat perang AS-Iran, potensi pengeluaran pembungkusan yang lebih rendah serta kenaikan harga untuk bekas adalah lebih tinggi menyebabkan pengeluar ubat meningkatkan kos produk farmaseutikal siap yang terhad," tambahnya.

-- BERNAMA