Niaga Hadapan Emas Dijangka Terus Dapat Sokongan Baik Minggu Depan
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas dijangka terus mendapat sokongan yang baik minggu depan, disokong oleh kebimbangan mengenai inflasi berikutan harga minyak diunjurkan kekal tinggi.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun terdapat potensi gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, gangguan bekalan dan kerosakan pada infrastruktur minyak dan gas boleh menyebabkan harga minyak mentah terus meningkat.
“Harga emas semasa meningkat sejak gencatan senjata manakala Indeks Dolar AS (DXY) terus berada di bawah paras 100 mata.
“Kebimbangan utama pada masa ini ialah inflasi berikutan harga minyak dijangka kekal tinggi walaupun terdapat kemungkinan gencatan senjata antara AS dan Iran.
“Kerosakan pada infrastruktur dan kemudahan minyak dan gas akan mengambil masa untuk dibaik pulih. Oleh itu, harga minyak dijangka kekal tinggi dan seterusnya, boleh memberi tekanan ke atas inflasi,” katanya kepada Bernama.
Pada asas mingguan, kontrak bulan semasa April 2026 meningkat kepada US$4,868.00 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$4,768.20 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Kontrak Mei 2026 naik kepada US$4,836.20 setiap auns troy daripada US$4,788.70 setiap auns troy.
Kontrak Jun, Julai dan Ogos 2026, masing-masing menokok kepada US$4,854.70 setiap auns troy daripada US$4,807.30 setiap auns troy pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 60 lot daripada 89 lot manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 87 kontrak pada Jumaat daripada 95 kontrak pada minggu sebelumnya.
Harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,793.60 setiap auns troy pada penetapan London Bullion Market Association pada 16 April 2026.
-- BERNAMA