BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Pelabur Tempatan Sumbang RM48.9 Bilion Atau 58.3 Peratus Daripada Pelaburan Selangor Pada 2025

SHAH ALAM, 20 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa gembira bahawa lebih separuh daripada jumlah pelaburan di Selangor berjumlah RM48.9 bilion atau 58.3 peratus pada 2025 adalah daripada pelabur tempatan.

Sultan Selangor bertitah pada 2025, aktiviti ekonomi di Selangor telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM83.9 bilion, melebihi sasaran awal RM65 bilion dan menawarkan 61, 311 peluang pekerjaan.

“Kerajaan beta menjangkakan masih ada potensi untuk memperluas sektor perkilangan dan pembuatan yang menyumbang 21.6 peratus menerusi pelaburan baharu terutamanya dalam bidang berteknologi tinggi. 

“Oleh itu, beta berharap terdapat usaha baharu untuk merancakkan lagi aktiviti sektor perkilangan yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat beta,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini. 

Sementara itu, Sultan Selangor telah dimaklumkan bahawa Selangor telah menerima hasil negeri sebanyak RM3.02 bilion pada tahun lepas, peningkatan sebanyak RM154 juta berbanding pada 2024. 

“Pencapaian kerajaan beta pada tahun lepas telah melebihi sasaran asal dan beta telah dijanjikan bahawa pada tahun ini, pencapaian yang lebih memberangsangkan akan dapat dicapai dengan sasaran RM2.8 bilion.

Mengorak langkah ke hadapan, Sultan Selangor berharap aspek kemiskinan relatif terus menjadi fokus kerajaan negeri menerusi Belanjawan Selangor 2026 dengan peruntukan RM3.23 bilion.

“Aspek kemiskinan relatif yang sudah diturunkan daripada 14.2 peratus pada 2022 kepada 8.5 peratus pada 2024, perlu terus menjadi fokus kerajaan beta supaya rakyat dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik dan makmur di bumi Selangor ini,” titah baginda.

Sehingga akhir tahun lepas, Sultan Selangor turut dimaklumkan sebanyak 75,493 unit rumah mampu milik siap dibina oleh kerajaan negeri manakala 40,000 unit disasarkan untuk dibina pada tahun ini.  

-- BERNAMA