BERITA TERKINI   Sultan Selangor titah pemimpin politik bergabung tenaga, ketepi perbezaan untuk majukan negara | Sultan Sharafuddin berpandangan SUKMA di Selangor wajar ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai | Sultan Selangor titah kerajaan negeri fokus atasi masalah banjir dengan segera  | Sultan Selangor titah Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan baginda dilaksanakan secara sederhana  | Dana global membeli bon Malaysia bernilai lebih US$2 bilion dalam beberapa minggu ini, aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan - PM Anwar | 

Ringgit Dijangka Diniagakan Dalam Julat Kecil Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Faktor luaran dijangka kekal dominan dalam mempengaruhi pergerakan ringgit yang diunjur diniagakan dalam julat kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun profil pertumbuhan Malaysia menjadi teras kukuh, hala tuju masa terdekat ini akan dipacu oleh dinamik dolar AS, ketidaktentuan harga minyak serta perkembangan geopolitik yang berubah.

“Minyak mentah Brent dijangka kekal melebihi US$90 setong yang menawarkan latar belakang terma perdagangan yang menyokong dan sepatutnya membantu memacu mata wang berkenaan.

“Bagaimanapun, sebarang keadaan geopolitik yang sebaliknya, terutama daripada pengumuman dasar oleh Donald Trump berkaitan Asia Barat, akan mengubah sentimen pasaran dan mengukuhkan dolar AS namun memberi risiko penurunan ringgit,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 3.9505/9545 berbanding 3.9625/9680 pada akhir minggu urus niaga sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama dalam urus niaga minggu ini.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3454/3508 daripada 5.3248/3322, turun berbanding euro kepada 4.6588/6635 daripada 4.6401/6465 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4838/4865 daripada 2.4882/4918 minggu lepas.

Dalam pada itu, ringgit mencatat prestasi pengukuhan berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1053/1086 daripada 3.1093/1139, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.3084/3274 daripada 12.3289/3525, meningkat berbanding rupiah Indonesia serta lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.59 daripada 6.60/6.62, sebelum ini.

-- BERNAMA