BERITA TERKINI   Pihak yang kaut keuntungan melalui aktiviti seludup, seleweng bahan api akan berdepan tindakan tegas - TPM Fadillah | 102,144 liter diesel dan 23,907 liter petrol dirampas sepanjang penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 di Sabah dan Labuan - Fadillah | 320 kes pelanggaran undang-undang direkod sepanjang tempoh Ops Tiris 4.0 Bersepadu - TPM Fadillah | Ringgit Malaysia mata wang berprestasi terbaik di Asia dua tahun berturut-turut, jadi kebanggaan rakyat Malaysia - Fahmi | MCMC terima 203,918 permohonan orang awam minta platform media sosial turunkan kandungan, 91 peratus berkaitan judi dan penipuan - Fahmi | 

Malaysia Guna 700,000 Tong Minyak Sehari, Melebihi Pengeluaran 350,000 Tong Sehari - MOF

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Malaysia masih perlu mengimport minyak mentah walaupun mempunyai pengeluaran minyak sendiri kerana penggunaan dalam negara jauh lebih tinggi, iaitu kira-kira 700,000 tong sehari berbanding pengeluaran hanya 350,000 tong sehari, menurut Kementerian Kewangan (MOF) .

Menurut MOF dalam kenyataan hari ini, dunia sedang berdepan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat yang telah mengganggu rantaian bekalan minyak dunia termasuk pengangkutan dan penghantaran serta laluan perkapalan utama di Selat Hormuz yang terjejas.

“Bekalan minyak mentah dan bahan api mengalami gangguan dan kelewatan. Harga minyak mentah meningkat hampir 40 peratus termasuk kenaikan kos logistik dan insurans,” menurut MOF.

MOF memaklumkan sebanyak 52 peratus bekalan produk petroleum ditapis Malaysia adalah oleh syarikat minyak lain di Malaysia manakala baki 48 peratus oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Sumber minyak mentah Malaysia terdiri daripada 48 peratus pengeluaran domestik, 38 peratus import melalui Selat Hormuz, tujuh peratus dari rantau Asia Tenggara, Afrika Barat dan lain-lain serta tujuh peratus lagi dari Asia Barat dan lain-lain.

Menurut MOF, sebahagian besar minyak mentah yang digunakan di kilang penapisan masih perlu diimport kerana pengeluaran domestik tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan negara.

“Hampir 40 peratus daripada import tersebut melalui Selat Hormuz, laluan utama yang kini terjejas,” menurutnya, sambil menambah Malaysia perlu bergantung pada import bagi memenuhi permintaan domestik untuk petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan bahan api pesawat.

Petronas pada Sabtu mengesahkan kapal Ocean Thunder telah tiba di Malaysia dengan satu juta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq dan merupakan antara usaha syarikat dalam memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil.

-- BERNAMA