NIP Tingkatkan Literasi Pelabur, Sokong Pertumbuhan Ekonomi
KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) – Program Pelaburan Nasional (NIP) anjuran Bursa Malaysia akan meningkatkan literasi pelabur dan menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang dengan menggalakkan penyertaan yang lebih berasaskan maklumat dalam pasaran modal, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pengetahuan pelaburan dalam kalangan individu daripada pelbagai latar belakang.
“Program ini akan dilaksanakan sehingga Julai dan kira-kira 550 peserta terpilih akan diberi pendedahan kepada selok-belok pelaburan di Bursa Malaysia,” katanya pada sidang media selepas pelancaran NIP di sini hari ini.
Akmal Nasrullah berkata inisiatif ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan penyertaan dalam pasaran modal dan tidak hanya bergantung pada pelabur institusi semata-mata.
Terdahulu, dalam ucapan, katanya pasaran modal Malaysia mencecah kira-kira RM4.3 trilion pada 2025, mencerminkan tahap kekuatan dalam ekuiti, bon, kewangan Islam dan kewangan mampan.
Akmal Nasrullah berkata pendidikan kewangan yang berstruktur adalah penting bagi memastikan pelabur mempunyai maklumat yang mencukupi, peka terhadap risiko dan mampu menyertai pasaran modal secara bertanggungjawab.
“Modul yang ditawarkan akan membolehkan peserta membangunkan pengetahuan yang diperlukan bukan sahaja untuk mengenal pasti peluang pelaburan yang berpotensi, malah memperkukuh kesedaran dan keupayaan mereka untuk mengambil tindakan terhadap potensi penipuan,” katanya.
Beliau berkata program ini juga sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 untuk membangunkan belia yang berkebolehan dan berdaya saing melalui pendidikan pengurusan kewangan yang lebih kukuh.
“Inisiatif literasi kewangan berstruktur seperti NIP memainkan peranan penting dalam menterjemahkan minat awal kepada penyertaan yang berasaskan maklumat dan bertanggungjawab,” katanya.
NIP, yang berlangsung dari pertengahan April hingga Julai 2026, dirangka untuk meningkatkan pemahaman peserta mengenai pasaran modal melalui pendekatan yang berstruktur dan komprehensif.
Peserta akan menjalani program latihan secara dua peringkat (peringkat permulaan dan pertengahan) yang menggabungkan pengajaran teori, simulasi berasaskan pasaran dan kajian kes interaktif untuk memberikan pendedahan praktikal kepada konsep pelaburan dan proses membuat keputusan.
-- BERNAMA