BERITA TERKINI   Pihak yang kaut keuntungan melalui aktiviti seludup, seleweng bahan api akan berdepan tindakan tegas - TPM Fadillah | 102,144 liter diesel dan 23,907 liter petrol dirampas sepanjang penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 di Sabah dan Labuan - Fadillah | 320 kes pelanggaran undang-undang direkod sepanjang tempoh Ops Tiris 4.0 Bersepadu - TPM Fadillah | Ringgit Malaysia mata wang berprestasi terbaik di Asia dua tahun berturut-turut, jadi kebanggaan rakyat Malaysia - Fahmi | MCMC terima 203,918 permohonan orang awam minta platform media sosial turunkan kandungan, 91 peratus berkaitan judi dan penipuan - Fahmi | 

Kerajaan Peruntuk RM28.8 Juta Untuk Pembangunan Industri Halal - Mohd Shahar

KUANTAN, 18 April (Bernama) -- Sebanyak RM28.8 juta diperuntukkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk projek dan program pembangunan industri halal kepada agensi berkaitan, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah. 

Beliau berkata peruntukan tahun ini disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Halal Development Corporation (HDC).

Katanya antara projek dan program diluluskan adalah yang menumpukan pembangunan inovasi dan teknologi halal, program pemudah cara pensijilan halal dan program pengukuhan integriti halal seperti pembangunan sistem My e-Halal JAKIM. 

“Melalui peruntukan serta sokongan pembiayaan yang diberikan, penggiat halal diharapkan dapat membangunkan kapasiti perniagaan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan industri halal negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Pantai Timur Antarabangsa Pahang (PIECES) bersempena Ekspo Perdagangan dan Keusahawanan Pantai Timur Malaysia 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau ketika ditemui Bernama berkata Pahang mempunyai potensi luas dalam memperkasa industri halal berikutan mempunyai kelebihan dari segi kedudukan yang strategik dan kemudahan logistik.

Justeru, beliau berharap pemain industri bersedia dan memanfaatkan infrastruktur logistik seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi tahun depan. 

“Kemudahan sudah ada dan industri mesti dibangunkan secepat mungkin. Kementerian Ekonomi melihat Pahang sudah ada kekuatan namun kita perlu ada sinergi, jangan bekerja secara bersendirian. 

“Selain itu, kita mesti guna peluang yang ada dan paling penting kena agresif. Jangan biarkan ruang yang ada ini tidak dimanfaatkan oleh anak-anak dan usahawan tempatan,” katanya

-- BERNAMA