Kerajaan Fokus Penyesuaian Dasar Hadapi Tekanan Kos, Krisis Bekalan Global
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kerajaan memberi tumpuan kepada penyesuaian dasar bagi mengurus tekanan kos dan pada masa sama menjamin bekalan serta keperluan asas dalam menangani kesan krisis bekalan global.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata konflik yang melibatkan Selat Hormuz masih belum menunjukkan penyelesaian yang benar-benar meyakinkan walaupun terdapat perkembangan diplomatik tertentu.
Beliau berkata isunya bukan sahaja sama ada bekalan fizikal terganggu atau tidak, malah juga melibatkan premium risiko, kos insurans, logistik, kelewatan penghantaran dan gangguan terhadap rantaian bekalan dunia.
“Perkara yang sedang kita hadapi sekarang bukan lagi kejutan jangka pendek. Ini bukan sekadar isu harga minyak, malah juga telah berkembang menjadi krisis bekalan global yang memberi kesan kepada kos tenaga, logistik, bahan mentah, makanan, perkhidmatan dan akhirnya kehidupan harian rakyat.
“Dalam erti kata lain, kita kini berada pada fasa pengurusan tekanan yang berpanjangan, bukan lagi semata-mata fasa pengurusan kejutan awal,” katanya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global yang disiarkan secara langsung melalui beberapa saluran televisyen termasuk BERNAMA TV hari ini.
Akmal Nasrullah berkata sekiranya ketidaktentuan ini berlanjutan, impak terhadap kos tenaga dan rantaian bekalan global boleh berlarutan sehingga 18 bulan sebelum kembali stabil, bergantung kepada perkembangan geopolitik dan pemulihan laluan perdagangan.
“Maknanya, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan global yang datang daripada pelbagai sudut,” katanya.
Selain itu, beliau berkata dalam tempoh 13 hingga 17 April 2026, purata harga minyak mentah Brent turun 11.6 peratus daripada US$131.67 setong kepada US$117.85 setong.
“Walaupun harga tertinggi minggu lepas mencecah US$132.46 setong namun masih berada di bawah rekod kemuncak US$144.46 setong apabila tercetusnya krisis di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata pergerakan harga minyak dunia menunjukkan krisis ini masih belum selesai dan tekanannya dijangka berterusan.
Mengenai prestasi ekonomi negara, Akmal Nasrullah berkata beberapa petunjuk ekonomi Malaysia masih mempunyai asas yang kukuh di sebalik suasana global yang mencabar, dengan FBM KLCI ditutup pada paras 1,695.21 mata pada 17 April, 2026 berbanding 1,691.31 mata minggu sebelumnya.
“Ini mewakili kenaikan mingguan sebanyak 3.9 mata atau 0.23 peratus, dan meneruskan momentum positif sejak penghujung Mac manakala dalam tempoh enam minggu, indeks ini meningkat 0.29 peratus.
“Pada minggu ini, indeks ini mengukuh pada paras 1,702.30 sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi domestik masih bertahan, seterusnya mengimbangi impak negatif daripada penyusutan harga minyak Brent,” katanya.
Beliau berkata anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan ekonomi negara diunjurkan berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku pertama 2026 berbanding 4.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.
Unjuran itu turut selari dengan jangkaan antara 5.1 hingga 5.6 peratus yang dibuat oleh kalangan penganalisis, serta dijangka mengatasi beberapa ekonomi utama serantau seperti Singapura pada 4.6 peratus dan China pada 5.0 peratus, katanya.
“Bagaimanapun, angka-angka ini tidak boleh dibaca sebagai isyarat bahawa tekanan telah berlalu. Sebaliknya, angka ini menunjukkan ekonomi negara masih bertahan ketika menghadapi tekanan luaran yang belum reda.
“Beberapa indikator bagi Mac 2026 masih belum dimuktamadkan, dan impak penuh krisis lazimnya lewat sedikit sampai kepada ekonomi melalui kos logistik, harga import, keputusan pelaburan dan sentimen pengguna,” katanya.
-- BERNAMA