Minat Belian Ketara Pacu Niaga Hadapan MSM Ditutup Meningkat

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup meningkat pada Selasa, sekali gus mengatasi penurunan selama hampir enam minggu sebelum ini.

Menurut firma pembrokeran niaga hadapanCGS International Malaysia Bhd, prestasi peningkatan berkenaan didorong oleh minat belian ketara.

Dalam nota tinjauan hari ini, firma itu memaklumkan kenaikan harga minyak mentah serta minyak kacang soya turut menyerlahkan daya tarikan MSM sebagai bahan utama biobahan api.

“Perkembangan konflik terkini di Asia Barat yang menjejaskan prospek rundingan bagi menamatkan perang AS-Iran, sebaliknya hanya menyokong harga di Kuala Lumpur,” menurutnya.

Minyak sawit bagi penghantaran Julai misalnya, menokok sehingga satu peratus pada sesi dagangan pagi  yang jelas menjejaki peningkatan minyak mentah.

“(Minyak mentah penanda aras global) Brent naik sehingga 7.9 peratus pada Isnin, sekali gus mengatasi sebahagian besar penurunan yang dicatatkan pada Jumaat,” menurut CGS International.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak Mei 2026 menokok RM36 kepada RM4,491 satu tan; Jun 2026 naik RM48 kepada RM4,535 satu tan manakala Julai 2026 meraih RM61 kepada RM4,559 satu tan.

Kontrak Ogos 2026 turut menambah RM66 kepada RM4,564 satu tan, September 2026 menokok RM69 kepada RM4,557 satu tan manakala Oktober 2026 melonjak RM71 kepada RM4,546 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 115,871 lot daripada 84,757 lot semalam manakala kepentingan terbuka naik kepada 253,316 kontrak daripada 252,691.

Harga fizikal MSM bagi Mei Selatan naik RM50 kepada RM4,550 satu tan.

-- BERNAMA