Niaga Hadapan Emas Terus Catat Penurunan Untuk Hari Kelima Berturut-turut
KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan penurunan untuk sesi kelima berturut-turut, mencerminkan kejatuhan di pasaran COMEX AS apabila pengukuhan dolar AS memberikan tekanan kepada harga komoditi itu.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta April 2026 susut kepada US$4,716.50 setiap auns troy daripada US$4,774.60 setiap auns troy sebelumnya, manakala kontrak Mei 2026 menurun kepada US$4,739.0 setiap troy auns daripada US$4,795.60 setiap auns troy semalam.
Kontrak Jun, Julai, dan Ogos 2026 juga ditutup lebih rendah kepada US$4,754.50 setiap troy auns daripada US$4,812.10 setiap auns troy sebelum ini.
Jumlah dagangan merosot kepada enam lot daripada 17 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 58 kontrak daripada 68 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$4,742.10 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market pada 22 April, 2026.
-- BERNAMA