BERITA TERKINI   Satu daripada 22 kapal misi GSF yang dipintas tentera Israel berjaya dihubungi setakat 7 malam ini - Fahmi | Mahkamah Majistret Tenom perintahkan Ebit Lew membela diri atas 11 tuduhan berkaitan gangguan seksual  | PM Anwar kutuk tindakan ganas rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF, sifatkan ia pelanggaran nyata undang-undang maritim | GSF: Kerajaan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat, pastikan rakyat Malaysia yang ditahan dibebaskan segera - PM Anwar | Ketidaktentuan global bukan bersifat sementara, kerajaan perlu bersedia dengan langkah yang realistik dan mampan - Amir Hamzah | 

Jonassen Mahu Malaysia Bermula Garang Di Horsens

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

HORSENS (Denmark), 24 April (Bernama) -- Barisan kejurulatihan negara membawa mesej jelas bahawa Malaysia akan memulakan kempen Final Piala Thomas dan Piala Uber 2026 di sini dengan kuat, kekal tenang dan hadapi tekanan dengan yakin.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Kenneth Jonassen percaya perlawanan pembukaan bagi kedua-dua pasukan lelaki dan wanita di Forum Horsens esok akan menentukan rentak keseluruhan kempen, dengan kekuatan mental dan keyakinan amat penting.

“Jika kita dapat bermain pada tahap terbaik, kita mempunyai peluang yang cerah. Sudah pasti setiap pasukan akan melakukan apa saja untuk memberi tekanan kepada kita, jadi saya amat menantikan bagaimana pemain wanita kita (Piala Uber) menghadapinya.

“Kita perlu bermula dengan keputusan positif (bagi Piala Thomas). Sekali lagi, penting untuk pemain menyahut cabaran yang datang dan mampu mengharungi kesukaran yang bakal dihadapi dalam setiap perlawanan,” katanya dalam video yang dikongsi oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Malaysia yang merupakan juara lima kali, akan membuka kempen Piala Thomas bagi Kumpulan B dengan menentang England.

Bagi Piala Uber pula, Malaysia yang juga diundi dalam Kumpulan B, akan memulakan langkah dengan menentang Turkiye.

Jurulatih dari Denmark berusia 51 tahun itu berkata skuad negara telah mempamerkan semangat yang tinggi sepanjang kem latihan di Herning baru-baru ini dan bersedia untuk memulakan kempen di Horsens.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky percaya semua pemain kini sangat bersemangat untuk memulakan perlawanan pertama mereka dengan keputusan positif.

Rexy berkata tanpa mengira siapa yang akan dipilih, setiap pemain perlu bersedia dari segi mental untuk melangkah ke gelanggang apabila diperlukan, terutama dalam suasana saingan berpasukan yang sangat sengit.

Final Piala Thomas dan Piala Uber 2026 yang bermula hari ini akan berlangsung hingga 3 Mei.

-- BERNAMA