BERITA TERKINI   Piala Thomas: Malaysia 4 Finland 1: Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun menewaskan Ananda Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14 | Piala Thomas: Malaysia 0 Finland 1: Leong Jun Hao kalah kepada Joakim Oldorff 17-21, 15-21 | Isu Kerajaan Negeri Sembilan: UMNO pusat akan bertemu ADUN UMNO negeri dalam masa terdekat - Ahmad Zahid | UMNO akan bertemu PM Anwar, bincang isu Kerajaan Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | Malaysia kekal terbuka kepada pelaburan dari Timur dan Barat serta kerjasama dengan syarikat yang menghormati undang-undang dan keutamaannya - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Kekal Tinggi Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal dalam zon positif pada tengah hari ini, disokong oleh aktiviti belian dalam saham wajaran tinggi, diterajui oleh Press Metal, Telekom Malaysia dan Petronas Chemicals.

Ketiga-tiga kaunter ini menyumbang 9.89 mata kepada indeks komposit.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 5.54 mata kepada 1,725.88 daripada 1,720.34 semasa ditutup pada Jumaat lepas. 

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.13 mata kepada 1,724.47 dan diniagakan antara 1,721.94 dan 1,731.79 pada sesi dagangan pagi.

Pasaran secara menyeluruh adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 492 berbanding 406 manakala 516 kaunter kekal tidak berubah, 1,334 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.71 bilion unit bernilai RM1.22 bilion. 

Press Metal meningkat 39 sen kepada RM8.81, Telekom Malaysia naik 47 sen kepada RM7.57 dan Petronas Chemicals menambah lapan sen kepada RM5.58.

Sebelum ini, RHB Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Telekom dengan harga sasaran sebanyak RM9.30, melihat semakan semula nisbah pembayaran dividen Telekom secara positif, menawarkan kepastian dividen kepada pelabur yang mencari pulangan dengan potensi dividen khas.

“Telekom kekal sebagai pilihan kami bagi pendedahan sektor telekomunikasi berdasarkan prospek pertumbuhan struktur, peningkatan pengurusan modal dan pulangan ke atas modal pelaburan yang lebih baik.

Telekom turut mengumumkan dasar pembayaran dividen dan menyemaknya kepada minimum 75 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang dilaporkan, dibayar setiap suku tahun berbanding antara 40 peratus dan 60 peratus daripada PATAMI yang diperkenalkan pada 2018 dan pembayaran dibuat dua kali setahun.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maybank menurun enam sen kepada RM11.10, Public Bank merosot dua sen kepada RM4.79, Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM14.70, CIMB Group berkurangan sembilan sen kepada RM7.71 dan IHH Healthcare menyusut tujuh sen kepada RM8.75.

Dalam senarai paling aktif, Luster Industries mendatar pada empat sen, VS Industry menurun satu sen kepada 21.5 sen, Inari Amertron naik 15 sen kepada RM1.97, Zetrix AI menambah 1.5 sen kepada 87.5 sen dan AirAsia X tidak berubah pada RM1.25.

Kaunter paling untung termasuklah Nestle meningkat 54 sen kepada RM99.84, F&N naik 52 sen kepada RM30.82 dan Unisem menokok 25 sen kepada RM3.33.

Kaunter paling rugi ialah United Plantations merosot 84 sen kepada RM31.48, Petronas Dagangan berkurangan 32 sen kepada RM20.10, Hong Leong Bank dan Allianz, masing-masing menurun 24 sen kepada RM22.54 dan RM20.82.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.20 mata kepada 12,763.92, Indeks FBMT 100 naik 52.28 mata kepada 12,601.58, Indeks FBM Emas Shariah menokok 100.04 mata kepada 12,686.65, Indeks FBM 70 melonjak 126.28 mata kepada 18,198.71, bagaimanapun Indeks FBM ACE menurun 15.11 mata kepada 4,637.21.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 101.96 mata kepada 20,120.85, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 3.32 mata kepada 195.68, Indeks Tenaga naik 0.28 mata kepada 830.59 dan Indeks Perladangan menambah 3.93 mata kepada 8,849.19.

-- BERNAMA