BERITA TERKINI   Piala Uber: Jepun 1 Malaysia 0: Akane Yamaguchi kalahkan K. Letshanaa 21-19, 21-17 | Piala Thomas: Malaysia 4 Finland 1: Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun menewaskan Ananda Galvani Daniswara-Alvar Melleri 21-7, 21-14 | 

IHPRr Meningkat 1.1 Peratus Pada Mac 2026, Peningkatan Pertama Sejak Mac 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR, 27 April  (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia meningkat 1.1 peratus pada Mac 2026 berbanding penurunan 3.4 peratus pada bulan sebelumnya, peningkatan pertama sejak Mac 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perlombongan mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 26.5 peratus daripada penurunan 8.5 peratus pada Februari 2026, sebahagian besarnya disumbangkan oleh pengekstrakan petroleum mentah (38.5 peratus).

"Bagi sektor utiliti, indeks bekalan air meningkat 11.3 peratus, manakala indeks bekalan elektrik dan gas naik 9.6 peratus. Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan menyusut 5.6 peratus (Februari 2026: -8.7 peratus) disebabkan oleh penurunan 11.0 peratus dalam indeks penanaman tanaman kekal," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, sektor pembuatan mencatatkan penurunan perlahan 0.8 peratus (Februari 2026: -2.7 peratus), disebabkan oleh penurunan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-3.8 peratus) dan Pembuatan produk makanan (-2.8 peratus).

Pada asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 4.1 peratus berbanding penurunan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.

Mohd Uzir berkata selain daripada indeks bekalan air yang menurun sebanyak 0.6 peratus, semua sektor lain mencatatkan peningkatan termasuklah sektor perlombongan yang mencatatkan peningkatan ketara 32.9 peratus (Februari 2026: 0.4 peratus), didorong oleh peningkatan dalam indeks pengekstrakan petroleum mentah sebanyak 43.5 peratus.

"Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.8 peratus (Februari 2026: 1.0 peratus), disumbangkan oleh indeks penanaman tanaman kekal (4.4 peratus).

"Pada masa yang sama, sektor pembuatan meningkat 1.7 peratus (Februari 2026: -0.8 peratus), dipengaruhi oleh peningkatan dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (7.1 peratus) dan pembuatan produk makanan (2.7 peratus)," katanya.

Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat 4.9 peratus, tambah beliau.

Mengulas lanjut mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menurun 1.3 peratus (Februari 2026: -3.1 peratus), dipengaruhi oleh penurunan dalam bahan api yang diproses dan pelincir (-4.8 peratus).

Indeks barang siap turun marginal 0.1 peratus (Februari 2026: -1.1 peratus), disebabkan oleh penurunan kelengkapan modal (-0.6 peratus).

"Bagaimanapun, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat 9.8 peratus (Februari 2026: -7.0 peratus), disumbangkan oleh bahan bukan makanan (10.7 peratus) dan bahan makanan dan makanan untuk binatang (5.5 peratus),” kata Mohd Uzir.

Pada asas bulan ke bulan, semua peringkat pemprosesan mencatatkan peningkatan pada Mac 2026.

DOSM menambah, indeks bahan mentah untuk diproses selanjutnya meningkat sebanyak 16.4 peratus. Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen serta barang siap juga masing-masing meningkat sebanyak 1.7 peratus dan 0.7 peratus pada bulan ini.

-- BERNAMA