MIDA Permudah Kelulusan Insentif Cukai Untuk 220 Projek Di Johor Pada 2025

JOHOR BAHRU, 27 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mempermudah kelulusan pengecualian dan insentif cukai bagi 220 projek di Johor sekali gus memperkukuh komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pertumbuhan industri di negeri itu pada 2025.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata campur tangan fiskal ini merupakan komponen utama dalam sinergi di antara kelebihan geografi semula jadi Johor dengan sokongan dasar yang teguh daripada Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi-agensinya terutamanya MIDA dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mengutamakan Johor sebagai enjin utama pertumbuhan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada program Sesi Makan Tengah Hari bersama Timbalan Menteri MITI dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hua Johor Bahru (JBCCCI) di sini hari ini.

Inisiatif-inisiatif yang diterajui oleh Kerajaan Persekutuan telah berjaya mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab pembuatan bernilai tinggi terutamanya dalam sektor jentera dan kelengkapan pengangkutan, katanya.

Rangka kerja sokongan ini telah menyumbang kepada pencapaian negeri dalam meraih rekod pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion bagi 2025 yang melibatkan 1,348 projek baharu dan ia merupakan peningkatan sebanyak 69.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sim menyatakan bahawa sokongan Kerajaan Persekutuan turut merangkumi daya saing pasaran menerusi MATRADE apabila lebih 4,000 syarikat yang berpangkalan di Johor telah mendapat manfaat daripada program pembangunan kapasiti seperti Dana Eksport Perkhidmatan, eTRADE 2.0 dan inisiatif latihan eksport.

Selain itu, sebanyak RM7.2 juta telah diberikan kepada 512 syarikat di negeri tersebut melalui Geran Pembangunan Pasaran (MDG) bagi memperkasa kehadiran perdagangan antarabangsa mereka.

“Usaha-usaha ini bagi memastikan Johor kekal menjadi keutamaan di bawah dasar-dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ),” kata Sim.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan kekal komited sepenuhnya terhadap projek-projek transformatif ini bagi memastikan ia diterjemah kepada pekerjaan berpendapatan tinggi serta peluang yang bermakna buat golongan belia di Johor.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan Johor kekal sebagai enjin utama pembangunan ekonomi Malaysia,” tambahnya.

Sim berkata Johor secara rasminya telah memperkukuh statusnya sebagai pusat kuasa pembuatan bernilai tinggi yang terkemuka dengan mencatatkan rekod pelaburan diluluskan sebanyak RM110 bilion bagi 2025 yang sebahagian besarnya dipacu oleh lonjakan strategik dalam sektor jentera dan kelengkapan pengangkutan.

Beliau berkata prestasi negeri tersebut yang meletakkannya sebagai destinasi pelaburan utama di Malaysia, memberi isyarat kepada peralihan struktur dalam landskap perindustrian Johor ke arah pengeluaran berteknologi tinggi dan berintensifkan modal.

-- BERNAMA